Dalam dunia muzik, lagu bukan sekadar alunan melodi yang menghibur telinga, tetapi sering menjadi cerminan zaman, perasaan manusia, dan suara hati yang tersembunyi.
Lagu-lagu lama, khususnya yang dihasilkan pada era 60-an hingga 90-an, banyak menyelitkan maksud tersirat, pesanan halus yang disampaikan melalui lirik puitis dan kiasan budaya.
Komposer berkaliber, Saari Amri dalam audio siar ‘Sembang Pantai Timur’ bersama THR Gegar tampil mendedahkan beberapa maksud disebalik lagu popularnya.
Menurut Saari, lagu ‘Putus Terpaksa’ dinanyikan oleh Ziana Zain bukan sekadar lagu putus cinta yang biasa.
“Bila kita buat lagu, tak semestinya lagu cinta sahaja, walaupun genre tu tapi kita selit-selit mesej. Macam lagu ‘putus Terpaksa’ tu dia bercinta dengan penagih dadah.
“Dia macam nak bagi tahu jangan amalkan, tapi orang (kekasih) nak juga, itu yang punca putus tu,” kongsinya dalam audio siar berkenaan.
Jika dilihat semula memang jelas terlihat maksud yang cuba disampaikan oleh Saari mengenai masalah dadah.
Bagi lagu Sembilu yang dinyanyikan oleh ratu rock Ella Aminuddin pula diilhamkan selepas Amri melihat kekasihnya keluar dengan lelaki lain.
“Masa tu saya lagi seminggu nak bertunang, lalu nampak bakal tunang berkepit dengan orang lain depan dekat pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Kita nampak depan mata, dia menggelabah, lagi seminggu keluarga saya nak datang merisik, balik rumah petik gitar menangis,” kongsinya.
Keindahan lagu lama terletak pada lapisan maknanya yang hanya dapat dihargai sepenuhnya oleh mereka yang mendengar dengan hati dan bukan sekadar rentaknya sahaja.
Baca juga: Pasangan muda terpaksa buat ‘loan’ RM40k demi puaskan hati keluarga nak majlis kahwin di hotel