Seorang pegawai perubatan berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas menulis surat terbuka untuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai hubungannya dengan penyanyi dan pelakon iaitu Bella Astillah.
Menerusi surat dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu, individu dikenali sebagai Dr Azhari Zhahir meluahkan harapannya agar kedua-dua personaliti yang digosipkan memiliki hubungan tersebut mendirikan perkahwinan.
Namun sekiranya Syed Saddiq bertindak mengecewakan Bella, Azhari tidak akan berdiam dan ‘membalas dendam’ dengan bertanding sebagai wakil rakyat untuk merampas Muar daripada gengaman ahli politik terbabit.
“Jika akhirnya beliau memilih untuk mengecewakan Bella, membiarkan dia berdiri terlalu lama menanti akad yang tak kunjung tiba. Maka dengan rendah hati tetapi tekad membara, saya sendiri akan bertanding di Parlimen Muar. Bukan sekadar mahu menguburkan karier politiknya.
“Tetapi agar saya dapat membela nasib Bella dengan cara paling budiman yang seorang rakyat biasa boleh lakukan. Pasti saya ajak seluruh rakyat Sabah pindah mengundi di Muar semata-mata untuk jatuhkan beliau. Kepada Syed Saddiq, pulanglah kepada rasa yang paling jujur.
“Ajaklah Bella berdiri di sebelah, bukan sekadar di dalam gambar. Tetapi pada satu akad yang menggema, hingga kami rakyat yang hanya diam di barisan belakang boleh menadah tangan bersama mendoakan bahagia,” tulis Azhari dalam surat tersebut.
Azhari mengakui menjadi antara saksi pengorbanan dan sokongan Bella yang tidak berbelah bahagi terhadap Syed Saddiq ketika saat senang dan berhadapan dengan detik sukar seperti perbicaraan kes di mahkamah.
Doktor terbabit turut menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada Syed Saddiq untuk membantu bekas Menteri Belia dan Sukan itu membuat keputusan dengan menggunakan kepakarannya dalam bidang perubatan.
“Saat mahkamah jadi pentas sabar dan Gunung Kinabalu hanya satu dari ribuan tangga yang kalian daki bersama. Bella tetap ada, bukan sekadar bayang di belakang lensa kamera. Tetapi nafas kedua yang membisikkan keyakinan bahawa perjuangan beliau bukan sia-sia.
“Tetapi jika sampai hari ini matanya masih kabur melihat siapa Bella sebenarnya, datanglah ke klinik. Biar saya sorot retina matanya untuk mencari apakah silau terlalu kuat hingga pandangan tertutup oleh sorotan lampu kamera media dan politik.
“Sedangkan di hadapan, berdiri seorang Bella yang hanya mahu digenggam tangannya sampai ke Jannah.” Kongsi Doktor Azhari dalam perkongsian itu menulis warkah dengan harapan supaya hubungan Syed Saddiq dan Bella berakhir dengan sulaman akad yang sah.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan penulisan pegawai perubatan terbabit selain memberikan pujian kerana warkah yang ditulis sangat puitis dan menyentuh hati.
Ramai juga pengguna bersetuju dengan penulisan Azhari dan secara berseloroh turut ‘mengugut’ untuk menarik sokongan mereka di pilihan raya kelak sekiranya Syed Saddiq tidak menghalalkan hubungannya bersama Bella.
Baca juga: Ingatkan lagu putus cinta je, rupanya ‘Putus Terpaksa’ ada maksud tersirat