“Saya masak, bukan nak bagi awak makan” – Zara Zya balas kecaman pedas

Oleh MAISARAH AISYA

Jika dilihat ramai terlalu lantang meninggalkan komen tanpa berfikir panjang di ruangan media sosial selebriti seolah-olah hanya mereka terpaling pandai dalam sesuatu hal.

Bab resipi ini setiap orang ada cara memasak dan bahan tersendiri dimasukkan untuk menyedapkan lagi rasa kerana cita rasa setiap manusia itu berbeza.

Hanya kerana meletakkan daun kari ke dalam asam pedas, pelakon Zara Zya terkejut melihat komen pengguna media sosial yang menggelarnya bodoh.

Tampil menjawab berkenaan komen, Zara menegaskan resipi tersebut dikongsikan seseorang kepadanya dan masakan itu antara kegemarannya.

“Saya masak bukan nak bagi awak makan. Saya masak, untuk saya dan keluarga saya makan.

“Asam pedas tu kawan mama saya dari Melaka yang kongsi resipi. dan ianya menjadi lauk kegemaran saya hingga kini.

“Saya suka dan niat saya berkongsi untuk sesiapa yang ingin mencuba. Ingat daun kari tu hanya untuk masakan kari saja ke,” ujarnya di Threads.

Dalam masa sama dia meminta pengguna media sosial itu untuk berfikiran lebih terbuka dan menjaga bahasa.

“Sebab tu ada pepatah,pergi lah belajar hingga ke negara China. Buka minda tu luas luas.

“Orang dah share ilmu, dia bodohkan kita pula? Indah sungguh bahasa. Benci sangat dekat saya ye,” tambahnya.

Baca juga: Jangan buat benda halal lalu jalan haram, Ustaz Adnin tak ‘contact’ isteri ketika bertunang