Ketua Menteri menggantung tujuh jurutera susulan pembinaan jambatan baharu yang menimbulkan kontroversi kerana direka dengan selekoh tajam 90 darjah.
Menurut laporan AFP, jambatan Rel Atas (ROB) yang dibina di kawasan Aishbagh, dekat Madhya Pradesh, India itu menjadi tular selepas pengguna media sosial dan penduduk tempatan mempersoalkan kewajaran reka bentuknya yang dianggap berbahaya dan ‘tidak masuk akal’.
Susulan itu Ketua menterinya, Mohan Yadav berkata, beliau mengesan kecuaian serius dalam pembinaan jambatan tersebut dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.
“Berdasarkan laporan siasatan, tindakan telah diambil terhadap lapan jurutera. Tujuh daripada mereka telah digantung kerja serta-merta, manakala seorang jurutera penguasa yang telah bersara akan disiasat oleh jabatan secara dalaman,” katanya di X seperti dilapor.
Dua daripada jurutera yang dikenakan tindakan itu merupakan ketua jurutera dari Jabatan Kerja Raya negeri.
Selain tindakan ke atas pegawai teknikal, kerajaan negeri turut menyenaraihitamkan agensi pembinaan serta firma perunding yang terlibat dalam projek tersebut.
Satu jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi menilai semula reka bentuk sedia ada dan mencadangkan penambahbaikan.
“Jambatan ini hanya akan dirasmikan selepas penambahbaikan yang diperlukan dilaksanakan,” tegas Mohan lagi.
Projek berkenaan yang menelan kos sebanyak 180 juta Rupee (kira-kira RM8.9 juta) dibina bagi meningkatkan akses antara kawasan Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan stesen kereta api ke kawasan New Bhopal. Ia dijangka memberi manfaat kepada sekitar 300,000 penduduk.
Baca juga: Malaysia tempat ke-3 paling malas di dunia, Indonesia nombor 1, kata kajian