Longlai kaki nampak Zizan Razak, gemuruh sampai air tumpah atas telefon – “Dia siap belanja”

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan gelagat sekumpulan wanita ketika terserampak dengan pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak ketika mengunjungi sebuah kedai serbaneka berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya menerusi rakaman dimuat naik di platform TikTok, salah seorang gadis berkenaan dipercayai peminat Zizan dilihat begitu gemuruh ketika berhadapan dengan selebriti yang juga merupakan penyanyi itu.

Seperti yang terlihat dalam video berdurasi 15 saat itu, kaki gadis terbabit kelihatan seperti longlai sehingga terduduk di lantai kedai ketika berada berhampiran peti sejuk berisi aiskrim di mana Zizan berada.

Lebih menggelikan hati, gadis itu tampak turut memakai sepasang kasut yang berlainan jenis serta warna sebelum mengakui merasa terlalu gemuruh sehingga tertukar ‘alas kaki’ tersebut.

“Penangan jumpa abang Zizan. Dia siap belanja,” tulisnya di dalam ruangan kapsyen perkongsian video yang sudah meraih sebanyak 361,400 tontonan oleh pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis.

Menerusi rakaman itu juga, Zizan kelihatan turut terpana melihat gelagat peminatnya namun kemudian meminta mereka memilih aiskrim dipercayai untuk membelanja sekumpulan gadis berkenaan.

@iuhshee

penangan jumpa abe zizan 😭😭 dia siap belanja 🥰🥰

♬ Bawaku Pergi – Zizan Razak & Kaka Azraff

Tinjauan mendapati rakaman tersebut turut memperoleh 41,000 tanda suka daripada pengguna platform tersebut yang mana rata-ratanya terhibur melihat gelagat wanita terbabit ketika gemuruh berhadapan dengan Zizan.

Ramai juga pengguna mengakui Zizan mempunyai aura pelawak tersendiri sehinggakan mereka merasa geli hati melihat wajahnya meskipun selebriti diminati ramai itu tidak membuat sebarang jenaka.

“Kasut lain sebelah kemudian jatuh dekat lantai. Lalu air matcha pula tumpah atas telefon bimbit. Macam-macam yang jadi dalam video ini,” kata seorang pengguna yang merasa terhibur menonton perkongsian tersebut.

“Zizan senyum sahaja pun, aura lawak dia sudah keluar. Macam mana kawan itu tak gelabah.” Kongsi pengguna lain yang merasa geli hati melihat gelagat gadis di dalam video berkenaan.

Gadis itu juga sempat memberi respons memaklumkan telefon bimbit miliknya tidak rosak dan berfungsi dengan baik selepas beberapa pengguna bertanyakan mengenai keadaan peranti elektrik tersebut selepas air tertumpah.

Baca juga: Rakaman dron tunjuk pendaki Juliana Marins masih hidup selepas jatuh di kawasan gunung berapi