Seorang pelajar lepasan SPM berusia 18 tahun meluahkan kekecewaan kerana tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan keluarga dan kurangnya sokongan ibu bapa.
Katanya, sekalipun dia berniat untuk memohon bantuan kerajaan bagi menyambung pelajaran, namun ia tidak akan dipersetujui keluarga.
“Hi guys, umur saya 18 tahu baru je lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tapi tak dapat sambung belajar disebabkan ekonomi keluarga.
“Kalau saya mohon bantuan kerajaan pun tetap keluarga tak bagi sebab suruh tolong dia orang bayar bil rumah,” luahnya di platform Threads.
Remaja itu kini bekerja dengan gaji pokok RM1,700 dan hanya mampu memperoleh sekitar RM1,800 selepas kerja lebih masa.
Wang tersebut kebanyakannya digunakan untuk menampung keperluan keluarga.
“gaji pokok RM1700, campur bayaran bekerja lebih masa baru RM1800 je.
“Bagi saya sikit sebab saya nak simpan untuk sambung belajar tahun depan. Tapi mak saya tak kasi saya simpan RM600 sebulan. Dia suruh simpan RM200 sebulan. Baki bayar barang rumah,” katanya.
Selain menyumbang kepada perbelanjaan bulanan, dia turut diminta membantu dalam urusan lain seperti pembayaran cukai jalan kenderaan keluarga.
“Bulan 8 nanti saya kena tolong bagi RM500 untuk bayar cukai jalan kereta ayah. Nak buat lesen tak bagi, nak tukar kerja pun tak bagi sebab nanti dapat gaji rendah. Macam mana ya?,” tanya individu kepada pengikutnya.
Luahan ini mendapat perhatian ramai warganet yang bersimpati dengan situasi dihadapi, selain mencetuskan perbincangan mengenai tekanan kewangan ke atas golongan muda yang baru melangkah ke alam pekerjaan.
Baca juga: Wow! Mukaab bakal jadi tarikan di Riyadh, dibina mirip Kaabah dengan kos $800 bilion