Pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini boleh meneliti secara terperinci setiap perbelanjaan penggunaan elektrik melalui format bil baharu.
Format ini dilihat lebih menyeluruh susulan pelaksanaan struktur tarif elektrik baharu oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), baru-baru ini.
Memetik bernama, struktur ini diluluskan oleh kerajaan melalui mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Menurut myTNB, bil elektrik baharu akan memaparkan tiga komponen utama, Caj Penjanaan, Caj Rangkaian dan Caj Peruncitan, ini adalah bagi meningkatkan ketelusan dan kefahaman pengguna.
“Caj Penjanaan merangkumi kos bahan api, kapasiti penjanaan dan pelarasan harga bahan api global, Caj Rangkaian melibatkan kos operasi penghantaran dan penyelenggaraan sistem bekalan.
“Manakala Caj Peruncitan membabitkan kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan serta pengurusan akaun,” menurut laman sesawang itu.
Tidak hanya itu, bil tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan selain membantu pengguna lebih memahami struktur bil elektrik mereka.
“Maklumat ini membolehkan pelanggan TNB meneliti perincian setiap sen yang dibelanjakan.
“Seterusnya membuat keputusan lebih bijak dalam pengurusan tenaga harian,” perkongsian di laman sesawang berkenaan.
Untuk bulan ini, pelanggan akan menerima bil peralihan yang memaparkan dua caj berbeza.
Satu caj berdasarakan pengunaan hingga 30 Jun manakala caj kedua dikira bermula pada 1 Jualai berdasarkan struktur tarif baharu.
“Bil peralihan bulan Julai 2025 akan tersedia dalam tempoh 24 jam melalui aplikasi dan portal myTNB.
“Manakala bagi pelanggan yang menerima bil bercetak, penghantaran bil akan dihantar dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh bacaan dibuat,” jelasnya.
Baca juga: Beli kereta baru sebab ingat boleh dapat RM700 sehari buat Grab, sekali sendiri terciduk…