Menangis tak berhenti, pelakon akui tersentuh dengan nasihat Ustazah Asma’ Harun

Oleh MAISARAH AISYA

Menjadi pelakon bukan sekadar menghafal skrip dan berdiri di hadapan kamera atau di atas pentas, ia juga menuntut lebih daripada sekadar bakat untuk menghidupkan watak.

Buat pelakon yang namanya semakin naik, Siti Hariesa menganggap babak bersama penceramah terkenal, Ustazah Asma’ Harun antara momen yang tak dapat dilupakan.

Apatah lagi selepas mendengar dialog spontan dikeluarkan oleh Ustazah Asma’ dalam babak mengenai niat wataknya yang mahu berubah lapor Kosmo! Online.

“Babak tersebut adalah ketika Suzy (karakter) meluahkan perasaan nak berubah tapi halangan dilalui sangat susah. Bila jumpa ustazah itulah momen paling istimewa.

“Sebenarnya saya ikut skrip tapi di pihak ustazah pula tiada dialog. Beliau hanya bagi respons mengikut ayatnya sendiri.

“Apa disebut sangat menyentuh hati apabila secara peribadi kata-kata diucapkan menusuk perasaan sehingga saya menangis tidak berhenti,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Pelakon berusia 27 tahun mengakui nasihat itu menusuk kalbu dan menyebabkan dirinya menangis selepas selesai melakonkan babak berkenaan.

“Dia cakap kita semua tak sempurna, ada kekurangan diri dan saya buat dengan baik. Lebih kurang macam itu. Saya sendiri rasa saya buat benda baik dalam kehidupan.

“Ustazah Asma yang bagi nasihat betul, mendalam. Saya tak jangka babak tersebut jadi begitu,” kongsinya.

Baca juga: Tak ramai pencipta kandungan boleh bertahan selepas tiga tahun, sebab itu pendidikan penting