Terdetik nak ‘free hair’, Kilafairy baru sedar susahnya nak istiqamah

Oleh MAISARAH AISYA

Menutup aurat bukan sekadar tentang sehelai kain di kepala atau pakaian longgar di tubuh, ia adalah tanda ketaatan, simbol penghormatan diri, dan cerminan keimanan dalam hati.

Namun, untuk kekal istiqamah dalam menjaga aurat terutama dalam dunia hari ini yang penuh cabaran dan godaan, pastinya ia bukanlah sesuatu yang mudah.

Sudah lima tahun memilih untuk menutup aurat, pelakon Kilafairy tampil di Threads berkongsi kegusaran hati apabila ada ketika terdetik mahu membuka tudung semula.

“Kenapa rasa macam nak free hair (buka tudung) balik ni eh? Tapi bila difikir balik tentang ini, kenapa saya nak puaskan hati manusia.

“Sepatutnya kena buat semua untuk Allah dan bukan manusia. Baru sekarang faham kenapa orang kata istiqamah itu susah.

“Astaghfirullahal’azim Ya Allah kuat kan la iman aku. Doa kan saya semua orang,” kongsinya di Threads.

Selepas menerima pelbagai komen daripada peminat yang mendoakan agar dia kuat ostiqamah, Kilafairy memuat naik gambar menangis di Threads.

“Hujung-hujung dah iman Kila ini, saya perlukan doa semya sebab doa mama dah tak ada,” kongsinya.

Baca juga: Bekas menantu Ismail Sabri, Jovian Mandagie diisytihar muflis