Ringankan beban pembeli, peniaga di Terengganu pilih tak naik harga ikan

Oleh MAISARAH AISYA

Apabila kerajaan mula melaksanakan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kebanyakan peniaga akan cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga.

Namun tidak semua memilih untuk cepat kaya, bagi peniaga di Terengganu terutamanya penjual ikan membuat keputusan untuk mengekalkan harga.

Memetik Bernama, seorang peniaga ikan di Pasar Payang 1, Abdul Mubin Mohd memilih untuk tidak menaikkan harga susulan hasil laut tidak dikenakan SST.

Peniaga berusia 59 tahun itu memaklumkan harga belian daripada nelayan dan harga jualan di pasar kekal seperti biasa.

Antaranya ikan selayang dijual pada harga RM10 sekilogram (kg), selar (RM12 kg), kembung (RM18 kg), merah (RM35 kg), kerisi (RM16 kg) dan tenggiri (RM35 kg).

“Setakat ini harga ikan macam biasa sahaja, tidak naik atau turun walaupun selepas pelaksanaan SST.

“Harga beli daripada nelayan masih sama, begitu juga dengan harga jualan di pasar.

“Tidak timbul soal ambil kesempatan kerana setahu saya ikan tidak termasuk dalam barangan peluasan SST,” katanya seperti dipetik Bernama.

Baca juga: Bajet tak cukup nak upah tukang, ibu tunggal bina rumah sendiri belajar dari YouTube