Perkongsian daripada seorang wanita mengenai perasaan yang dialaminya selepas mendapat perkhabaran bahawa datuknya sudah meninggal dunia telah mencuri tumpuan orang ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita itu langsung tidak bersedih di atas pemergian datuknya sebaliknya merasa sangat bebas dan lega sebelum melakukan pelbagai tindakan mengejutkan untuk ‘meraikan’ khabar tersebut.
Antara perkara yang dilakukan oleh wanita terbabit sebaik mendapat pengkhabaran itu adalah membakar kesemua pakaian, mengoyakkan gambar dan membuang air kecil di atas katil milik warga emas berkenaan.
Tindakan tersebut dipercayai dilakukan untuk meraikan kebebasan di atas penderitaan dialami oleh sepupu, jiran dan dirinya sendiri yang hanya diraih selepas pemergian datuknya daripada dunia ini buat selamanya.
“Datuk saya sendiri yang telah memperkosa saya dari usia 4 sehingga 11 tahun sudah meninggal dunia pada minggu lepas. Saya akhirnya merasa bebas. Walaupun dia pernah dipenjara sembilan tahun selepas perbicaraan panjang, tetapi aku tetap tak rasa bebas.
“Mangsanya aku, dua sepupu dan seorang lagi anak jiran. Umur kami sebaya dan tinggal dengan datuk pada hari minggu. Hanya aku dengan seorang sepupu lelaki yang sudah berkahwin sahaja masih hidup. Anak jiran itu sudah meninggal dunia akibat terlebih dos dadah.
“Seorang lagi sepupu pula bunuh diri. Setiap kali bertemu keluarga besar, mereka masih tanya soalan sama. Kenapa selepas beberapa tahun berlaku, baru beritahu? Pecahkan keluarga atau tak kasihankah kepada datuk yang sudah tua dan tak sempat bertaubat itu?,” kesalnya.
Dalam perkongsian sama, wanita itu mengakui pernah juga terfikir untuk menamatkan riwayatnya sendiri akibat trauma dilalui namun membatalkan niat tersebut selepas melihat keadaan jasad sepupunya yang menyayat hati.
Wanita itu turut meluahkan rasa kecewa di atas tindakan keluarganya yang meletakkan kesalahan kepada mangsa malah ibu bapanya sendiri turut menarik semula laporan polis dibuat olehnya berhubung perbuatan datuknya.
“Mereka tak mahu datuk mereput dalam penjara. Hanya laporan anak jiran yang berjalan. Sepupu saya lagi kasihan. Dia ceritakan kejadian dan melalui pelbagai ujian untuk kumpul bukti. Tetapi ayahnya tarik balik laporan. Dia juga dihantar untuk tinggal balik di rumah datuk.
“Tiga minggu selepas itu, dia lari rumah. Anak jiran berjaya menang kes tetapi dia juga perlu teruskan hidup dengan kesakitan dan trauma. Pada hari datuk meninggal dunia, saya bersorak. Pakai baju terbaik dan solekan wajah. Dunia perlu tahu saya berjaya bertahan.
“Saya masih di rumah, lokasi kejadian itu berlaku. Tetapi sudah tak takut. Rumah ini akan dijual. Saya juga jumpa pakaian kanak-kanak dalam laci baju datuk. Semua saya bakar. Rasa tenang dia tidak lagi wujud dalam dunia yang sama.” Kongsi wanita terbabit.
Perkongsian itu dibuat tanpa mendedahkan identitinya di platform X sebagai pengajaran dengan harapan ‘suara’ kanak-kanak dapat didengar tanpa prejudis dan mangsa tidak menerima layanan tidak adil atau dipersalahkan.
Baca juga: Terdetik nak ‘free hair’, Kilafairy baru sedar susahnya nak istiqamah