Negara membangun perlu bangkit sebagai kuasa bermaruah, bukan lagi pemain pinggiran

Oleh KIM SYAZIE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada reformasi besar-besaran terhadap institusi-institusi global agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun.

Ketika berucap pada Forum Perniagaan BRICS di Brazil, Anwar menekankan bahawa dunia tidak lagi boleh terikat dengan struktur usang yang dibentuk selepas Perang Dunia Kedua.

“Saya menyeru reformasi besar-besaran terhadap institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia agar lebih mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara membangun, bukan terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua,” katanya di Facebook.

Beliau turut menegaskan bahawa negara-negara membangun kini perlu dilihat sebagai pemain utama dalam sistem global, bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan.

“Saya menegaskan bahawa negara-negara membangun tidak lagi wajar dianggap sebagai pemain pinggiran dalam sistem global. Kita bukan sekadar pewaris sejarah pasca penjajahan.

“Kita kini bangkit sebagai kuasa bermaruah yang memiliki kekuatan tersendiri dalam teknologi, perdagangan, kepimpinan dan suara moral dunia,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi ASEAN, Anwar berkata negara-negara di Asia Tenggara memperjuangkan multilateralisme, memperkukuh perdagangan intra ASEAN dan mempelopori penggunaan mata wang tempatan dalam urus niaga rentas sempadan sebagai langkah konkrit ke arah sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.

Malaysia berkongsi aspirasi BRICS dalam memperkukuh sistem kewangan serantau yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.

Anwar menyifatkan BRICS sebagai satu gabungan kuasa politik, ekonomi dan masyarakat sivil yang bukan sekadar retorik elit, tetapi gerakan kolektif yang inklusif dan berdaya tahan.

BRICS 2025 bukan sekadar kesinambungan usaha lalu sebaliknya detik kebangkitan baharu.

Dengan kepimpinan politik yang berwawasan, sektor swasta yang progresif dan perpaduan Selatan Global yang kian kukuh, Perdana Menteri percaya ASEAN mempunyai peluang sebenar untuk membentuk semula landskap global.

“Anggota BRICS dan ASEAN perlu terus mempererat kerjasama strategik, termasuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan rentas rantau demi manfaat bersama negara-negara membangun,” ujarnya.

Baca juga: Ramai tak tahu penumpang boleh tuntut pampasan kalau penerbangan ditunda lebih dua jam