‘Tak kisah bos potong RM70 janji dapat solat’, kisah lelaki warga Bangladesh ini dijadikan teladan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki warga Bangladesh menjadi bualan ramai di media sosial selepas kisah kesungguhannya menjaga solat lima waktu tular di platform Threads.

Menurut seorang pengguna media sosial yang berkongsi kisah tersebut, lelaki warga Bangladesh itu bukan sahaja rajin ke surau malah menghantar 80 peratus daripada gajinya kepada keluarga di kampung halaman, dan hanya menggunakan selebihnya untuk menyara hidup di sini.

“Bangla ‘green flag’. 5 waktu solat dekat surau. Tak pernah tinggal qobliyah ba’diyah. 80% duit gaji hantar ke keluarga dekat kampung, 20% guna untuk teruskan hidup dekat sini,” tulis pengguna itu dalam satu posting.

Lebih menyentuh hati, dua bulan lalu mereka bertemu ketika solat Jumaat dan sejak itu dia mengenali peribadi lelaki berkenaan dengan lebih dekat.

“2 bulan lepas jumpa dia dekat masjid masa solat Jumaat. Bos dia tak bagi dia datang solat kalau tidak kena tolak gaji RM70. Dia cakap ok je kena tolak janji dapat solat.

“Dekat dunia ini dia hanya orang biasa, dekat akhirat nanti Insyallah darjat dia luar biasa,” tambahnya.

Menerusi satu video yang dirakam, lelaki berkenaan memohon agar tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana bimbang menyukarkan keadaannya.

Di akhir posting, pengguna itu turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan kini sedang merancang untuk menukar kerja demi mendapatkan suasana kerja yang lebih menghormati waktu solat.

“Ape pun terima kasih banyak-banyak yang mendoakan untuk dia. Insyallah dia nak tukar kerja dah tu,” ujarnya.

Sementara di ruangan komen, hantaran tersebut dibanjiri ratusan komen yang tentunya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap majikan warga Bangladesh itu kerana sewenang-wenangnya menggunakan kuasa secara salah.

Mereka menyarankan agar pengguna terbabit membuat laporan rasmi berhubung penindasan dialami lelaki berkenaan.

Pun begitu pengguna tersebut memaklumkan dia tidak dapat membuat laporan kerana tidak mahu pada akhirnya menyusahkan lelaki itu di tempat kerja.

Baca juga: Cikgu tegur pelajar guna Bahasa Indonesia dalam karangan, tertukar kawan dengan teman