Siapa sangka, di sebalik kemilau industri seni yang sering mendapat tempat di hati rakyat jelata, masih wujud sisi gelap yang jarang didedahkan, antaranya isu bayaran pelakon yang tidak setimpal.
Lebih mengejutkan, ada pihak yang sanggup meminta diskaun, seolah-olah bakat dan usaha seni boleh ditawar sesuka hati.
Buat pelakon yang sudah lama dalam industri, Faezah Elai mengakui terkejut apabila ada penerbit drama meminta dan menyangka ia hanyalah gurauan sebaliknya individu tersebut dilihat serius lapor Harian Metro.
“Katanya, Faezah dapat kurang RM50 jadilah. Ya Allah, saya memang terkejut kerana ia agak pelik. Saya tak nak sebutlah siapa orangnya.
“Masa itu saya dah nak pergi ambil cek tapi dia kata nak minta kurangkan harga. Apa ini? Saya cakap tak bolehlah walau berapa pun. Tak tahulah apa masalah dia. Macam pergi pasar pula minta kurang.
“Tak ada gurau, memang betul-betul dia minta. Tapi akhirnya dia bayar juga jumlah yang dijanjikan. Saya memang tegas dengan kerja saya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Dalam masa sama, Faezah bersetuju dengan kenyataan rakan industri tentang bayaran ‘ciput’ (rendah) kepada pelakon.
“Bagi saya, bayaran itu, tak tahu kenapa orang (penerbit) suka ‘hold’ (tangguh). Saya tak fahamlah benda ini. Dari awal zaman saya berlakon pun ada juga yang macam itu. Tapi saya mengamuklah.
“Dia macam, tak tahu kenapa kamu kena ‘hold’. Kalau dah kontrak cakap macam itu, macam itulah. Kena ikutlah kontrak yang kita dah tandatangan itu kan. Tapi ada sesetengah produksi tak faham.
“Bila awak punya produksi ada masalah, awak tak boleh babitkan kami yang dah siapkan kerja. Dia ada masalah dengan produksi, dia tak nak bayar kita,” jelasnya.
Kongsinya lagi dia tidak akan menerima sebarang alasan dan akan menuntut haknya sehingga berjaya.
Baca juga: ‘Tak kisah bos potong RM70 janji dapat solat’, kisah lelaki warga Bangladesh ini dijadikan teladan