Satu rakaman memaparkan gelagat seorang lelaki warga emas yang membawa ‘sekandang’ unta balik ke Malaysia dari Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Mana tidaknya, warga emas berkenaan dilihat membawa lebih daripada 10 ekor anak patung unta yang digantung pada tali beg sandang miliknya sebaik turun dari pesawat di ruangan ketibaan di sebuah lapangan terbang.
Kepulangan jemaah haji itu bersama isterinya kemudian disambut oleh cucu-cucu mereka yang kelihatan begitu teruja menyapa insan dirindukan selain tidak sabar untuk bermain dengan patung unta berkenaan.
Situasi mencuit hati terbabit bukan sahaja disaksikan oleh mereka yang berada di dalam ruangan ketibaan itu malah pengguna media sosial juga dapat menontonnya selepas rakaman kejadian dikongsikan di platform TikTok.
“Pergi haji kemudian bawa balik satu kandang unta untuk cucu. Atuk buat apa ini? Terperanjat kami,” tulis perakam video berkenaan menerusi ruangan kapsyen dalam nada berseloroh.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.3 juta tontonan dan 129,000 tanda suka dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya merasa terharu melihat gelagat warga emas terbabit.
Ramai juga pengguna mengakui bahawa cara sang bapa menunjukkan kasih sayang mereka terhadap cucu-cucu berbanding anak-anak sendiri sememangnya berbeza dan lebih jelas terpancar.
“Comel atuknya pun. Tetapi itulah kan, kalau dengan cucu sanggup berikan apa sahaja. Kita ini anak-anak tak dapat macam itu. Kena marah lagi. Ayah kita kalau dengan cucu, memang cair,” kata seorang pengguna.
“Sudahlah atuk dan nenek pulang dengan selamat. Dapat pula hadiah atuk belikan. Seronoknya sampai mengalir air mata ini. Turut tumpang gembira.” Kongsi pengguna lain yang turut merasa terharu.
Pihak pengurusan Tabung Haji (TH) yang bertugas di lapangan terbang tersebut turut berkongsikan rakaman dari sudut belakang warga emas itu selain memaklumkan jumlah anak patung yang dibeli iaitu 15 ekor patung.
Baca juga: ‘Tak kisah bos potong RM70 janji dapat solat’, kisah lelaki warga Bangladesh ini dijadikan teladan