Tragedi kereta terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra yang mengorbankan nyawa pasangan suami isteri dan empat anak mereka pada Sabtu lalu sememangnya menyentuh hati orang ramai.
Siapa sangka, pemergian mereka turut membongkar sisi kesederhanaan dalam kehidupan pasangan suami isteri yang merupakan peniaga roti canai itu dengan penularan semula satu rakaman lama.
Menerusi rakaman dimuat naik pada 22 April lalu di akaun TikTok Orang Bisnes itu, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi dan suaminya iaitu Muhammad Azim Izat dilihat sedang mempromosikan gerai mereka.
Difahamkan, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 32 dan 31 tahun terbabit menjalankan perniagaan dengan membuka sebuah gerai roti canai di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar, Kedah.
Namun perkara yang menyentuh hati orang ramai dalam rakaman itu adalah pengakuan dari arwah Nurul Hidayah yang memberitahu bahawa mereka tidak berniaga untuk kaya sebaliknya sekadar mahu menampung kehidupan.
Mereka juga menjual sepinggan roti canai dengan harga RM1.20 agar dapat memberikan makanan mampu milik kepada pelanggan yang kebanyakkannya merupakan kakitangan hospital dan orang awam.
“Kami berniaga roti canai ini sudah lama dan berpindah-randah ke banyak tempat. Sekarang meniaga di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar. Kami bukan setakat jual roti canai. Tetapi ada juga tosai, capati dan roti banggali.
“Pelanggan kami banyak kakitangan hospital dan orang awam. Jadi kami jual tak mahallah. Orang meniaga ini ada dua jenis. Satu nak kaya, satu lagi cuma nak sambung kehidupan. Kami yang kedua. Janji dapat teruskan hidup,” katanya.
Dalam rakaman tersebut, Muhamad Azim dilihat tenang membantu menguruskan bahagian penyediaan makanan di gerai tersebut manakala Hidayah pula mengendalikan pesanan minuman pelanggan.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa sebak selain memuji keperibadian pasangan terbabit terutama dalam berniaga yang disifatkan sangat mulia.
Ramai juga pengguna mengirimkan doa kepada keluarga mangsa terutamanya anak sulung pasangan terbabit iaitu Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, yang masih hidup kerana kerana tidak mengikuti ibu bapanya ketika kejadian.
Baca juga: Hutang RM150 dengan ah long, peminjam dipaksa bakar rumah bila gagal bayar