Setiap kali kita memecahkan telur untuk memasak, pasti ada satu bahagian yang hampir tidak pernah diberi perhatian, kulitnya.
Ia akan terus dibuang ke dalam tong sampah, tanpa fikir panjang seolah-olah ia tiada khasiat sedangkan ia banyak membantu untuk menjadi baja buat tanaman.
Seorang lelaki berusia 50 tahun berasal dari Yogyakarta dan kini menetap di Jakarta Selatan tampil mendedahkan ideanya menjual kulit telur untuk pasaran dalam talian.
“Dapat 3.6 juta rupiah (RM943.31) sebulan hanya sebab suka-suka kumpul kulit telur. Jadi setiap kali makan telur, saya tak buang kulitnya.
“Tak sangka boleh jana pendapatan juga. Ini apa yang saya buat,” kongsi lelaki dikenali sebagai Waluyo di Thread.
Memetik Kompas.com, kisah ini bermula apabila Waluyo berasa sayang untuk membuang sisa kulit telur yang digunakan dalam penyediaan makanan di rumah.
Sejak tahun 2022, dia mula mengumpulkan sisa kulit telur tersebut.
“Waktu itu kira-kira 2 hingga 3 tahun lalu, kebetulan saya ada jalankan perniagaan bakso telur di rumah. Kulit telur makin lama makin banyak terkumpul.
“Saya pun jadi buntu nak buang ke mana. Nak buang begitu saja rasa macam tak sampai hati, daripada situlah timbul idea,” kongsinya seperti dipetik Kompas.com.
Berbekalkan sebuah telefon pintar, Waluyo mula mencari idea di internet tentang apakah manfaat yang boleh diperoleh daripada kulit telur.
Menurutnya, dia menggunakan pendekatan Search Engine Optimization (SEO) untuk mengenal pasti potensi bahan tersebut.
“Saya kaji melalui SEO, apa sebenarnya kandungan kulit telur ni/ Rupanya, kandungan kalsiumnya sangat tinggi. Ini pasti ada banyak kegunaan, dan tentu ramai yang perlukan,” jelasnya.
Tanpa berlengah, Waluyo mula membersihkan kulit telur, menumbuknya sehingga menjadi serpihan kecil, dan kemudian membungkusnya dalam plastik.
Waluyo turut berkongsi bahawa hasil jualan awal kulit telur itu digunakan semula untuk membeli lebih banyak kulit telur daripada golongan ibu-ibu dan tukang kek.
Dengan sistem perniagaan yang berasaskan kitaran ini, dia akhirnya berjaya menjana pendapatan tetap.
“Alhamdulillah, sejak tahun 2024, pendapatan bulanan daripada jualan kulit telur telah mencecah Rp 3.6 juta sebulan dan kekal hingga sekarang,” katanya.
Apa yang lebih mengejutkan, pelanggan Waluyo kini bukan sahaja dari kawasan sekitarnya, tetapi turut datang dari luar Pulau Jawa, menandakan permintaan yang semakin meluas.
“Tak sangka, sisa buangan macam ni boleh jadi rezeki. Cukup untuk menyara keluarga, anak dan isteri,” kongsinya.
Baca juga: Bukan kali pertama terjadi, kerusi Ketua Hakim Negara pernah kosong 19 hari