Dr Mahathir mohon maaf terpaksa balik piknik awal, sempat singgah hospital akibat keletihan

Oleh WAN SITI AMINAH

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memohon maaf kerana tidak dapat meluangkan lebih masa bersama para hadirin yang hadir di dalam program ‘Picnic and Potluck bersama Tun Dr. Mahathir 100 tahun’ diadakan semalam.

Dr. Mahathir menerusi rakaman dimuat naik di platform X memaklumkan bahawa beliau terpaksa pulang lebih awal daripada program yang diadakan di Tasik Putrajaya itu ekoran merasa terlalu keletihan.

Hal ini berikutan pemimpin terbabit perlu pulang berehat malah menerima nasihat daripada doktor untuk terus ke hospital dipercayai bertujuan bagi memeriksa keadaan kesihatannya.

“Saya mohon maaf kerana semalam tidak dapat bersama sewaktu kita ada program piknik yang mana banyak ribu orang yang hadir. Tetapi, oleh kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat (pulang lebih awal).

“Doktor juga suruh pergi hospital. Saya pergilah hospital. Tetapi sekejap sahaja, kemudian pulang ke rumah,” kata Perdana Menteri Malaysia keempat dan ketujuh itu dalam rakaman berdurasi satu minit 16 saat tersebut.

Dalam perkongsian yang sama, pemimpin terbabit turut memaklumkan bahawa dirinya kini sudah kembali pulih sepenuhnya selepas menerima rawatan daripada doktor di pusat perubatan.

Pemimpin berusia 100 tahun itu kini boleh meneruskan aktiviti harian seperti sediakala termasuk dengan bekerja malah sudah mula keluar dari rumah pada jam 10.15 pagi tadi menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.

“Sekarang ini saya sudah pulih setelah dirawat oleh doktor dan boleh teruskan cara hidup sayalah iaitu bekerja. Saya harap dimaafkan kerana tidak dapat bersama-sama semasa piknik semalam. Terima kasih.” Ujarnya.

Terahulu, orang ramai membanjiri Tasik Putrajaya untuk menghadiri program piknik yang diadakan pagi semalam bersempena ulang tahun kelahiran bekas Perdana Menteri terbabit yang ke-100 pada 10 Julai lalu.

Para pengunjung sudah mula memenuhi kawasan tasik seawal pukul 6 pagi manakala Dr Mahathir tiba bersama isterinya, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali sekitar jam 7.45 pagi dan disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh.

Dr. Mahathir kemudian memulakan aktiviti riadah dengan mengayuh basikal secara ‘tandem’ mengelilingi kawasan Tasik Putrajaya diiringi oleh pegawai keselamatan khas sambil menyapa orang ramai.

Namun sebaik sahaja menamatkan kayuhan, Dr. Mahathir dilihat agak keletihan dan duduk di kerusi seketika untuk berehat yang mana situasi tersebut sempat dirakamkan oleh orang awam.

Baca juga: Nam Ron dedah sebab tolak watak pedofilia, pernah terbawa karakter lain sampai rumah