Tanpa sebarang ‘loan’, anak muda ini buktikan mampu raih RM12K sebulan hasil bertani

Oleh MAISARAH AISYA

Bidang pertanian dan penternakan sering disalah anggap sebagai pekerjaan ‘kelas kedua’ yang kotor, berbahaya dan sukar – atau lebih dikenali sebagai sektor 3D.

Persepsi ini telah menjauhkan minat ramai anak muda, meskipun sektor ini sebenarnya menawarkan potensi besar dari segi inovasi, pendapatan dan kelestarian masa depan.

Namun begitu, tanggapan itu langsung tidak menghalang seorang anak muda berusia 23 tahun, Muhammad Khalid Saifullah Md. Amin, daripada menceburkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan sejak tahun 2019 lagi.

Malah graduan diploma dalam bidang binaan, Kolej Vokasional Ipoh berjaya menjana pendapatan lumayan sehingga RM12,000 sebulan lapor Kosmo! Online.

“Saya mengusahakan tanaman serai, pisang, cili kampung, durian dan manggis, selain turut menternak ayam, itik, lembu serta kam­bing di kawasan berdekatan rumah seluas kira-kira 1.21 hektar.

“Saya dapat membekalkan sumber makanan kepada penduduk sekitar Tanjung Malim dengan harga yang berpatutan, selain untuk ‘sara diri’ keperluan keluarga,” katanya seperti dipetik Kosmo!.

Menurut Muhammad Khalid, penglibatannya dalam bidang ini bukan sahaja memberi manfaat kepada dirinya, malah turut membantu menjana ekonomi penduduk setempat.

Ini termasuk membantu masyarakat Orang Asli apabila Muhammad Khalid bertindak sebagai peraih bagi hasil durian, manggis dan petai yang diusahakan mereka.

“Saya juga mempunyai beberapa pekerja daripada kalangan Orang Asli yang membolehkan mereka menambah pendapatan sampingan, selain dapat menimba pengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan.

“Ada dalam kalangan mereka yang telah mengusahakan perniagaan sendiri setelah bekerja beberapa tahun bersama saya, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” jelasnya.

Menariknya, sejak mula beroperasi, Muhammad Khalid tidak pernah bergantung kepada sebarang pinjaman kewangan untuk membiayai kos operasinya, sebaliknya mengurus perniagaan secara berdikari dengan modal dan usaha sendiri.

“Konsepnya mudah iaitu gaji dan keuntungan saya laburkan semula untuk kos operasi seperti perbelanjaan makanan, utiliti dan pengurusan.

“Sisa sayuran dan buah-buahan dijadikan makanan tambahan bagi haiwan ternakan, sementara tinja diolah sebagai baja yang me­­n­yu­burkan tanaman.

“Setiap perkara dimanfaatkan sepenuhnya,” kongsinya.

Baca juga: “Aku benci jadi orang miskin” – Remaja teringat kepayahan bersekolah sampai kena bekerja di usia belasan tahun