Sejak beberapa hari lalu, pelawak dan pelakon Amir Raja Lawak giat bersuara di media sosial, menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM18,000 daripada sebuah stesen televisyen.
Menerusi hantaran di Facebook, Amir meminta pihak terlibat untuk segera menyelesaikan hutangnya untuk dia menampung kos rawatan ayahnya yang menghidap kanser usus.
“Owsem tv, sila selesaikan bayaran saya secepat mungkin, abah saya kena kanser usus, saya nak solid RM18,000 tanpa diskaun, tanpa bayar ansur-ansur.
“Ini soal hidup dan mati abah saya, dan ini soal usaha serta ikhtiar kami sekeluarga untuk abah.
“Saya tak minta duit kamu, saya tak minta pinjam duit. Apa yang saya minta adalah duit saya! Hak saya! Sejak awal abah saya dimasukkan ke hospital, saya dah maklumkan kepada mereka.
“Saya WhatsApp, tunjukkan keadaan abah saya, tapi saya disisihkan tanpa sebarang maklum balas yang positif,” kongsinya di Facebook.
Selepas isu ini tular stesen TV tersebut cuba membuat bayaran sebanyak RM3,000 namun ditolak Amir kerana bimbang situasi lama berulang semula.
“Minggu lepas, selepas isu ini tular, ada pihak mereka nak beri RM3,000 dahulu, tapi saya tak nak.
“Kenapa saya tak nak? Sebabnya sebelum ini mereka pernah beri RM5,000 pada awal tahun lepas, tapi selepas itu dah lebih setahun langsung tak ada sebarang tambahan sampai sekarang.
“Jadi kenapa saya perlu ambil RM3,000? Sudah tentu saya nak bayaran penuh RM18,000 sekarang, sebab saya dalam keadaan kecemasan!
“Tak perlu saya jelaskan macam mana keadaan abah saya, atau apa yang kami sekeluarga sedang hadapi. Kamu sendiri tahu macam mana keadaan pesakit kanser usus ini,” tegasnya.
Ini bukan kali pertama stesen TV tersebut dikaitkan dengan isu bayaran. Sebelum ini, ramai krew produksi turut tampil meluahkan rasa kecewa kerana belum menerima bayaran mereka hingga ke hari ini.
Baca juga: Kecewa netizen tuduh melulu, anak Dharma Harun dedah kerja apa dia buat selama ini