Kecewa netizen tuduh melulu, anak Dharma Harun dedah kerja apa dia buat selama ini

Oleh KIM SYAZIE

Sejak kisah Dharma Harun Al-Rashid menjadi sorotan ramai kerana keadaan kesihatannya, muncul banyak spekulasi yang mendakwa anak pelakon itu tidak bekerja dan hanya bergantung harap kepada bapanya.

Terkilan dengan tuduhan tidak berasas dilemparkan segelintir netizen, Muhammad Al Syafiq menegaskan bahawa dia sebenarnya tidak ‘goyang kaki’ seperti yang disangka.

Sebaliknya dia juga mempunyai pekerjaan yang dilakukannya selama ini untuk menyara keluarga iaitu sebagai barista di sebuah kedai kopi.

Kata pelakon dan pengarah berusia 36 tahun itu, dia sedih, kecewa dan marah apabila netizen menyerangnya dengan tuduhan melulu.

“Hanya kerana saya tidak buka mulut mengenai kerja yang saya buat, ramai sangka saya goyang kaki harapkan duit ayah, tidak sara keluarga dan banyak lagi tuduhan melulu.

“Ya, saya belajar tapi tetap bekerja untuk bayar sewa rumah dan makan pakai kami tiga beranak, cuma dengan sijil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) berapa sangat gaji saya peroleh. Sebab itu saya nak ‘upgrade’ diri kejar ijazah,” katanya memetik Kosmo! Online.

Menurut anak bongsu daripada dua adik beradik itu, tindakan melampau netizen yang dianggap pembuli siber itu memberi tekanan sekali gus mengganggu emosinya.

“Selama ini saya diamkan diri sebab enggan melayani sebarang provokasi kerana ayah tahu kesusahan saya bekerja sambil belajar termasuk pada hujung minggu atau hari cuti.

“Saya sabar sahaja kerana fokus saya habiskan pengajian dengan mendapatkan keputusan cemerlang seterusnya dapat pekerjaan bagus serta gaji yang lebih banyak bagi menyenangkan bapa saya.

“Namun lama-kelamaan kecaman makin melampau apabila segelintir yang tidak tahu pun usaha kita terus fitnah saya tak buat apa-apa untuk cari duit terutama ketika ayah sakit. Takkan saya nak heboh atau tayang satu dunia saya bekerja,” ujarnya.

Baca juga: Prince Syed rela berhabis RM200,000 untuk kek hari jadi, ‘bertatahkan’ bunga emas 916!