Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menyifatkan peluang untuk membuat persembahan bersama isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir iaitu Tun Dr Hasmah sebagai mimpi yang menjadi kenyataan.
Persembahan dalam acara Nota Percaya itu dijadualkan bakal berlangsung pada 23 Ogos depan di mana penyanyi berusia 31 tahun terbabit dijemput untuk bermain muzik bersama Tun Dr Hasmah.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya, Bella memaklumkan bahawa jemputan tersebut diterimanya pada bulan lalu dan mengakui tidak terlintas bakal melalui detik sejarah sebegitu dalam hidupnya.
“Masih terasa seperti mimpi yang menjadi kenyataan. Pada bulan lalu, ibu saya menerima satu panggilan iaitu jemputan untuk saya membuat persembahan bersama Tun Hasmah. Pada mulanya, saya sendiri sukar untuk percaya.
“Sehinggalah saya lihat mesej itu sendiri. Sungguh, tidak pernah terlintas walau dalam sejuta kemungkinan bahawa perkara ini akan berlaku. Alhamdulillah!,” kata pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah itu dalam hantaran tersebut.
Dalam perkongsian sama, Bella juga berkongsi rakaman dan gambar memaparkan sesi latihan ketika bermain alat muzik dengan Tun Hasmah semalam yang mana mereka juga sempat makan tengah hari bersama.
Penyanyi itu juga berpeluang untuk berbual dan bergelak ketawa bersama Tun Hasmah serta Tun Dr Mahathir yang mana Bella menyifatkan keperibadian pasangan terbabit sebagai luar biasa baik sehingga membuatnya terharu.
“Saya berpeluang untuk bertemu mereka, bermain muzik bersama Tun Hasmah dan berkongsi cerita serta bergelak tawa. Tun M dan Tun Hasmah dengan begitu baik hatinya menjemput untuk turut serta makan tengah hari, walaupun saya sebenarnya sudah lambat untuk ke kelas.
“Tadi sempat bergenang air mata sekejap. Mereka berdua sungguh baik, penyayang, mesra dan sangat tulus. Masya-Allah . Semoga Allah SWT terus mengurniakan kesihatan yang baik buat mereka berdua. Insya-Allah, amin ya Rabb. Benar-benar pasangan istimewa Malaysia.” Kongsinya.
Baca juga: Kecewa netizen tuduh melulu, anak Dharma Harun dedah kerja apa dia buat selama ini