Sesungguhnya bukan semua yang bernama tiri itu jahat – Shila Amzah hargai Ubai

Oleh WAN SITI AMINAH

Layanan dan sikap pempengaruh, Ubai MZ membuatkan isterinya yang juga penyanyi terkenal iaitu Shila Amzah meluahkan rasa syukur atas kehadiran lelaki itu sebagai suami di sisinya.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, Ubai merupakan seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab terutamanya dalam menunaikan kewajibannya membimbing isteri.

Keprihatinan serta ketulusan Ubai dalam melayani anak dari perkahwinan terdahulu iaitu Seth Uwais seperti darah dagingnya sendiri turut dipuji oleh Shila menerusi luahan yang dimuat naik di platform Instagram itu.

Shila mengakui sikap pemilik nama sebenar Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli itu sememangnya membuktikan bahawa tidak semua insan bergelar bapa tiri jahat seperti yang terpahat dalam stigma negatif masyarakat.

“Terima kasih kerana menjadi seorang yang hebat, Suami. Terima kasih sebab selalu betulkan saya seandainya salah. Terima kasih kerana tidak perlu takutkan saya kerana kita saling hormat menghormati.

“Terima kasih kerana selalu memanusiakan insan lain. Terima kasih sebab layan Seth seperti anak awak sendiri tanpa perlu kejam kepada anak tiri. Sesungguhnya bukan semua yang bernama tiri itu jahat.

“Yang baik itu ramai, namun yang kejam itu terlalu kejam,” luah penyanyi berusia 35 tahun terbabit dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram Story bersama gambar mereka berdua.

Terdahulu, nama Shila Amzah menjadi topik perbincangan selepas penyanyi itu mendedahkan dirinya diserang individu bergelar artis lagenda ketika sesi latihan Konsert Ulang Tahun ke-20 MR D.I.Y di Stadium Merdeka.

Shila kemudian membuat laporan polis dan hasil siasatan awal mendapati rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga didakwa menjadi punca pelantun lagu Patah Seribu itu diserang artis legenda lelaki terbabit.

Sekadar info, Shila dan Ubai melangsungkan perkahwinan pada 5 Ogos 2023 sebelum pasangan terbabit dikurniakan dengan cahaya mata perempuan iaitu Rhea Akira pada 9 Mei, tahun lalu.

Penyanyi itu juga memiliki cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 sebelum bercerai pada Februari 2022.

Baca juga: Macam pelik tapi betul ke pembikinan filem Lagi-Lagi Senario berdasarkan krisis kewangan 1977?