Suami penat kerja pagi sampai malam, isteri kantoi curang dengan penganggur dalam ‘game’

Oleh WAN SITI AMINAH

Betapa kecewanya seorang suami apabila isteri tersayang tergamak berlaku curang dengan pemuda yang bergelar penganggur selepas berkenalan dalam satu permainan dalam talian (online game).

Lebih menyakitkan hati, tindakan isterinya itu seolah-olah tidak menghargai pengorbanan sang suami bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam untuk memenuhi segala keperluan keluarga.

Mana tidaknya, isteri terbabit mengakui mula menjalinkan hubungan dengan lelaki lain dalam permainan itu kerana merasa diri lebih disayangi oleh penganggur berkenaan berbanding suaminya sendiri.

Perkara itu diluahkan oleh sang suami dalam perkongsian yang dimuat naik di menerusi satu kumpulan Facebook berkaitan masalah rumah tangga tanpa mendedahkan identiti pihak terlibat.

“Isteri aku kantoi (curang). Puncanya main game ‘Mobile Legends’. Katanya berkenalan dengan seorang lelaki yang pernah kerja kilang sama macam dia dahulu. Siap mesej bersayang-sayang bagai, ‘on call’ yang tak tahannya.

“Mulanya aku tergerak hati nak tengok telefon isteri. Buka-buka nah, dengan selambanya penganggur itu bermanja-manja dengan isteri aku. Isteri aku ini pun melayan. Apa dia punya cita rasa, aku tak tahu.

“Alasan isteri aku sebab lelaki itu berikan perhatian dalam game. Aku kerja dari jam 8 pagi sampai 10 malam. Setiap tahun tukarkan telefon baharu untuk dia. Cukup lengkap aku berikan. Nafkah juga tak pernah culas,” kesalnya.

Masalah rumah tangganya bagaimanapun masih belum selesai kerana sikap isterinya yang enggan berubah malah tetap terus bermain permainan atas talian itu walaupun sudah dilarang oleh suaminya.

Suami terbabit juga masih mempertahankan rumah tangganya buat masa ini demi anak-anak mereka yang masih kecil meskipun menyedari kasih sayang isteri terhadap dirinya mungkin sudah tiada lagi.

“Keperluan isteri sampai alat solek termasuk ‘foundation’, semua aku belikan. Isteri aku kerjanya minta duit sahaja. Tetapi selepas kantoi, tetap main juga game itu. Padahal aku sudah padam semua. Mungkin nak perhatian 24 jam.

“Apabila aku tanya, katanya nak main game sahaja. Kamu semua kalau dapat isteri yang kaki game itu, hati-hatilah. Aku ini sampai masa anak besar atau jumpa yang lebih pandai menghargai, memang blah sahaja.” Kongsinya.

Baca juga: Noor Kumalasari pernah murung, dedah Anita Sarawak jadi penyelamat