Pergaduhan mulut di media sosial bukan lagi perkara asing dalam dunia hiburan mahupun kehidupan seharian.
Ia sering tercetus apabila salah faham atau ketegangan peribadi dibawa ke ruang terbuka, lalu mencetuskan saling balas kenyataan antara individu terlibat.
Terkilan dengan penghinaan terhadap isteri dan ibu, pelakon Harris Alif mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan tinju Asia Championship 2025.
Harris menganggap ia medan pertempuran yang sesuai untuk menyelesaikan sengketa lama dengan pelakon muda tersebut lapor Kosmo! Online.
“Sebenarnya kami kenal sejak dari kecil lagi. Namun ada satu kejadian yang berlaku di Sarawak pada tahun lalu tetapi kami sudah selesaikan.
“Kemudian tiba-tiba dia buat sesi siaran langsung dan mula menyentuh tentang isteri (Intan Ladyana) dan ibu saya. Cakap saya kahwin dengan isteri tua. Ibu saya tak ajar saya. Mana saya nak letak maruah sebagai lelaki?
“Jadi bila saya tengok ada nama dia dalam pertandingan ini, saya rasa lebih baik kita selesaikan masalah di dalam gelanggang.
“Menang atau kalah itu belakang cerita,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Kongsinya, punca mereka bertegang urat bermula di sebuah set penggambaran apabila dia menegur bahawa pelakon muda tersebut kurang ajar.
Ditanya apakah punca mereka bertegang urat, kata Harris kejadian tersebut berlaku di sebuah set penggambaran.
“Saya dah lama tak jumpa dengan dia. Apabila berjumpa semula saya lihat perangai dia sudah berubah. Bukan saya sahaja yang perasan, pelakon senior lain pun turut perasan perkara yang sama.
“Jadi saya tegur dia saya tanya kenapa dia jadi sangat kurang ajar sekarang. Tetapi dia tak boleh terima teguran saya dan mula mengamuk.
“Saya tak tahu ketika itu dia berada dalam keadaan yang normal ataupun tidak,” kongsinya.
Pada mulanya dia menganggap isu tersebut sudah selesai kerana sudah bermaafan namun pelakon tersebut bertindak bercakap bukan-bukan dalam siaran langsung.
“Sebagai manusia biasa saya pun ada tahap kesabaran saya sendiri. Bila terjadi seperti itu maka berlaku pergelutan.
“Tetapi selepas itu kami sudah saling bermaafan dan menangis. Tetapi tiba-tiba dia buat ‘live’ dan mula cakap bukan-bukan.
“Pada saya perkara lama tak perlu diungkit semula. Tetapi nampaknya dia masih tidak puas hati. Mungkin sebab dia kalah dulu.
“Bagi saya tak perlu nak mengherdik tak puas hati dalam media sosial. Kalau betul dia anak jantan, marilah datang jumpa saya. Kuala Lumpur bukan besar mana pun,” ujarnya.
Baca juga: Alya Iman lapor polis, tertekan difitnah jadi perosak rumah tangga Zizi Kirana-Yusuf Bahrin