Ingatkan jenama luar negara, rupanya kasut Menteri ini hasil jurutera UiTM!

Oleh MALAYSIADATELINE

Sepasang kasut kulit berkilat dengan jahitan halus dan rekaan elegan ini tampak seolah-olah berasal dari butik mewah di Milan.

Gayanya menepati citarasa jenama fesyen Eropah terkemuka, terutamanya dari Itali, yang sinonim dengan kemewahan dan kelas tersendiri.

Tular di Facebook tentang kasut yang dipakai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencuri perhatian seorang arkitek landskap terkenal Ng Sek San.

Kongsi Sek San, ketika sedang bersarapan di sebuah kedai kopi dia terlihart Kor Ming yang memakai kasut berkenaan dan menyangka ia adalah kasut jenama antarabangsa lapor Bernama.

“Beliau (Kor Ming) pastinya terdengar perbualan saya (dan rakan) mengenai kasutnya di meja sebelah. Saya mengatakan bahawa beliau sedang memakai kasut kulit berjenama Itali yang mahal.

“Apabila beliau melintasi saya, beliau berhenti dan membuka kasutnya untuk membuktikan bahawa ia adalah jenama tempatan Malaysia bernama Footlink,” ujar Sek San dalam hantarannya yang tular.

Rupanya kasut tersebut juga dikenali sebagai ‘kasut bomba’ kerana banyak digunakan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Namun, kasut tersebut sebenarnya merupakan hasil inovatif anak tempatan, seorang graduan kejuruteraan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Dengan harga sekitar RM200, kasut ini bukan sahaja tampil bergaya, malah diiktiraf sebagai ‘kasut perubatan’ kerana keselesaan dan sokongan tapaknya.

Ia turut dijual oleh institusi kesihatan seperti Institut Jantung Negara (IJN), dan digelar ‘kasut bomba’ kerana menjadi pilihan ramai anggota bomba dan penyelamat.

Menurut YB Nga Kor Ming, beliau telah memakai kasut ini sejak tahun 2023 sebagai tanda sokongan terhadap produk tempatan serta penghargaan kepada petugas barisan hadapan di bawah kementeriannya.

“Kerajaan MADANI menetapkan dasar untuk membeli produk yang bukan sahaja ‘dibuat di Malaysia’ tetapi juga ‘dibuat oleh Malaysia’.

“Saya mempamerkan kepimpinan melalui teladan bagi mempromosikan produk tempatan dan menunjukkan solidariti dengan anggota bomba kita sepanjang masa,” katanya seperti dipetik Bernama.

Baca juga: LGBT memang haram di sisi Islam, tidak diiktiraf undang-undang Malaysia, AMK jawab Pemuda Pas