Berebut semua nak tunjuk aib, Ustazah Asma gesa masyarakat hentikan segera trend S-Line

Oleh KIM SYAZIE

“Menggigil baca. Anak-anak muslim kita dengan sengaja menjatuhkan maruah dan melondehkan aib sendiri di hadapan ribuan mata”.

Demikian teguran dimuat naik pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun berhubung trend S-Line yang semakin menjadi ikutan para remaja dan masyarakat kebelakangan ini.

Trend ‘S-Line’ diambil dari sebuah drama korea, di mana setiap garisan merah di atas kepala menunjukkan berapa banyak kali seseorang itu sudah menjalinkan hubungan seksual.

Ia kini ditiru secara terbuka, dengan bangga menyunting gambar sendiri atau orang lain dengan filter seolah-olah mendedahkan kisah silam hubungan peribadi.

Ustazah Asma meluahkan rasa sedih melihat bagaimana masyarakat meniru trend tersebut tanpa rasa bersalah, seolah-olah ia hanyalah hiburan biasa.

“Dahsyatnya fitnah akhir zaman! Maksiat dan dosa bukan lagi disembunyikan, bahkan ditayang, disebar dan dibanggakan dengan alasan ikut trend.

“Sedangkan perbuatan membuka aib, berbangga dengan dosa dan menormalisasikan maksiat adalah haram serta dilarang keras dalam Islam, bahkan mengundang murka dan bala Allah. Na‘uzubillahi min dzalik,” katanya di Facebook.

Ustazah Asma menegaskan, Trend S-Line ini nampak seperti gurauan ringan, tetapi hakikatnya membawa kerosakan yang besar kepada akhlak dan maruah.

“Tidakkah kita sedar… Allah yang Maha Penyayang telah menutup aib kita selama ini, tetapi kita sendiri yang membukanya kembali hanya kerana satu trend yang sia-sia?

“Tuan Puan, inilah permainan halus syaitan memperelokkan maksiat, menjadikan yang keji tampak biasa, bahkan bergaya,” katanya lagi.

Dia pada masa sama menggesa agar trend tersebut dihentikan kerana ia bukan bentuk hiburan, sebaliknya adalah penzahiran dosa zina yang dimuliakan oleh syaitan.

“Duhai anak-anak muda Muslim, jangan gadaikan maruah diri hanya kerana ingin dilihat trendy. Apa yang kamu anggap biasa hari ini, boleh menjadi penyesalan yang panjang di akhirat nanti,” ujarnya.

Baca juga: Hasil jual jeruk, Aliff Syukri beli jet peribadi