PDRM sedia hadapi ancaman perisikan asing, jamin kedaulatan negara terpelihara

Oleh MALAYSIADATELINE

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan pasukannya sentiasa siap siaga menghadapi ancaman perisikan asing yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menegaskan bahawa pelbagai mekanisme kawalan telah digerakkan bagi memantau serta mengawal kemasukan warga asing di semua pintu masuk negara.

Ini adalah sebagai langkah proaktif menangani risiko ancaman luar yang kian kompleks dan mencabar lapor Harian Metro.

“PDRM mengesan dua kes yang dilaporkan iaitu kes penculikan warga Palestin dan kes memiliki enam pucuk senjata api yang didalangi oleh kumpulan ini.

“Pelbagai mekanisme diambil oleh PDRM bagi memantau kemasukan warga negara asing yang masuk daripada pintu masuk negara.

“Dalam usaha ini, PDRM menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Polis Antarabangsa (Interpol),” katanya dalam kenyataan media.

PDRM turut memandang serius kawalan keselamatan warga asing di Malaysia terutamanya buat mereka yang sudah menetap lama atau permastautin tetap.

Tegasnya, warga Palestin dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sederhana dan mengelakkan diri daripada menonjol di khalayak.

“Mereka diminta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku sebarang perlakuan yang mencurigakan ke atas mereka.

“PDRM turut menjalin kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan yang terlibat dalam aspek keselamatan negara melalui pertukaran maklumat dan pandangan secara berterusan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“PDRM sentiasa bersedia dalam usaha mencegah dan menangani pelbagai ancaman luaran yang berpotensi menjejaskan keselamatan,” katanya.

Mohd Khalid berkata PDRM utamakan keselamatan rakyat dan negara, termasuk menangani campur tangan agensi perisikan asing dalam kedaulatan dan kestabilan negara.

Baca juga: Jho Low didakwa menetap di Shanghai, guna pasport Australia palsu daftar syarikat di UK