Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok raih 7A, duduki tempat pertama dalam kelas!

Oleh MALAYSIADATELINE

Cahaya mata sulung kepada pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak mereka dalam tragedi di Sungai Korok pada 7 Julai lalu memperoleh keputusan 7A dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Darjah Enam.

Putri Qisya Nur Izzat, 12, yang baru mula bersekolah pada Isnin lalu selepas tragedi tersebut berlaku dilihat gembira berkongsi keputusan kepada keluarganya sebaik pulang dari Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru, Alor Setar.

Remaja terbabit meraih keputusan 7A daripada 12 subjek termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Jawi, Muzik, Pendidikan Jasmani dan Seni Visual sekali gus menduduki tempat pertama di dalam kelasnya.

Ibu saudaranya, Nur Adliah Syuhada Ishak memaklumkan bahawa tumpuan kini ditujukan untuk membantu Qisya memperbaiki keputusannya dalam subjek utama seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris, lapor Sinar Harian.

“Dia memang budak dalam kategori pandai. Tetapi mungkin ada subjek yang dia kurang minat di samping bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah menyebabkannya tidak sempat belajar.

“Jadi apabila dapat tawaran tuisyen percuma secara atas talian, saya sangat bersyukur dan menerima. Memang sebelum ini kita cuba membantu dengan mencari kelas-kelas tuisyen seperti ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Adliah Syuhada, subjek utama berkenaan perlu diberikan perhatian lebih dalam memastikan impian anak saudaranya untuk melanjutkan pelajarannya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tercapai.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata sedemikian selepas menerima kunjungan pusat tuisyen dari Pulau Pinang yang menyerahkan sumbangan sebuah komputer riba dan tajaan kelas bimbingan dalam talian secara percuma selama setahun kepada Putri Qisya.

“Kami sekeluarga akan tetap menyokong dan memantau sepenuhnya pendikan Putri Qisya dan mahu dia belajar betul-betul selepas ini. Wakil MRSM ada beritahu untuk minta pantau akademik Putri Qisya terutamanya melibatkan subjek utama,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Adliah Syuhada mengakui Puteri Qisya terlihat bersemangat malah guru serta rakan-rakannya juga banyak memberikan sokongan sepanjang berada di sekolah ketika berkongsi perkembangan anak saudaranya.

Perubahan positif tersebut dapat dilihat pada Putri Qisya kini berbanding beberapa hari selepas tragedi yang menyaksikan kesemua ahli keluarganya meninggal dunia dalam tragedi Terusan Sungai Korok itu.

“Alhamdulilah, setakat sekarang tidak ada kawan-kawan yang tanya soalan sensitif dan mungkin cikgu juga sudah kawal dari awal. Hari pertama dia masuk sekolah pun dah naik pentas dapat tiga hadiah dalam acara sukan. Dia memang aktif dalam sukan.” Kongsinya.

Terdahulu, pasangan suami isteri iaitu Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, ditemui lemas di Sungai Korok, Jitra, Kedah bersama empat anak mereka dalam satu kejadian menyayat hati.

Kesemua jenazah termasuk empat adik Putri Qisya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid At-Taqwa, Jerlun.

Baca juga: Guru patut hentikan budaya muat naik kertas jawapan murid, jadi punca Gen Z, Alfa diherdik lemah