Guru patut hentikan budaya muat naik kertas jawapan murid, jadi punca Gen Z, Alfa diherdik lemah

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pempengaruh, Zhiddin Aziz menegur tindakan segelintir guru yang gemar memuat naik kertas jawapan murid di media sosial.

Beliau berkata langkah itu langsung tidak membantu murid, malah hanya menggambarkan murid dari generasi Z dan Alfa sebagai rapuh dan lemah.

Kata beliau, apabila sudah menjadi trend dalam kalangan guru untuk memuat naik kertas jawapan murid, maka murid-murid juga akan melakukan silap yang sama kerana merasakan ia satu perkara yang kelakar.

“Boleh tak kita hentikan budaya memuat naik jawapan pelajar ke dunia maya? Sedara perasan kan sekarang bila ada kuiz, kemudian pelajar itu sekadar mengisi baris, guru itu pun ambil gambar kemudian muat naik dan menyatakan bahawa generasi Z dan Alfa sekarang makin lemah.

“Padahal itu lumrah. Mana-mana generasi pun kalau tak boleh jawab soalan memang kita jawab je apa yang kita tahu. Kadang itu salin semula soalan.

“Bezanya, zaman kita tu tiada guru yang viralkan. Bukan apa bila trend ini dibiar berulang, budak-budak rasa itu kelakar dan gemilang, lalu mereka berani mengulang,” katanya dalam satu video di TikTok.

Zhiddin berkata, masalah ini lebih baik diselesaikan di dalam ruang bilik darjah daripada mengharapkan masyarakat maya untuk mendidik.

Selain itu kata beliau, sikap guru suka memuat naik kertas jawapan murid juga menjadi punca tertanam ‘dakyah’ bahawa generasi Z rapuh dan lemah, sedangkan hakikatnya mereka kuat.

“Kalau mahu ikutkan pada zaman saya lebih banyak kelas tambahan dan ujian memaksa untuk kita bertahan. Jadi, kalau mahu buat perbandingan, boleh dikatakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dan hadap bermacam godaan,” jelasnya.

Menurutnya, nasihat yang dilontarkan itu bukan untuk meluahkan kemarahannya, namun kerana bimbang akan generasi tersebut benar-benar jadi lemah dan hilang keyakinan diri.

Baca juga: Suami enggan pakai lampin, isteri mohon fasakh sebab penat cuci tilam kena kencing tiap malam