Video Diana Danielle menari dengan anak curi perhatian, ramai sangka keluarga Mat Saleh

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon dan penyanyi, Diana Danielle kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas memuat naik video bersama dua anaknya iaitu Muhammad, 12 dan Nur Aurora yang kini berusia 10 tahun.

Menerusi rakaman dikongsikan di akaun TikTok miliknya itu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson dilihat sedang menari bersama dua kanak-kanak terbabit dengan diiringi lagu remix berbahasa Jepun.

Namun perkara yang menjadi topik perbincangan orang ramai selepas menonton rakaman berdurasi 35 saat itu adalah wajah dan penampilan mereka bertiga di dalam video tersebut.

Mana tidaknya, rata-rata pengguna platform itu mengakui bahawa mereka pada mulanya menyangka video tersebut berasal daripada luar negara sebelum melihat nama pemilik akaun TikTok itu.

Ramai juga pengguna tampil memuji wajah Muhammad dan Aurora yang kelihatan kacak, cantik dan menarik meskipun masih kecil selain menyifatkan penampilan mereka seperti ‘Mat Saleh’.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah berjaya meraih sebanyak 845,600 tontonan dan 73,200 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana sebahagian besar netizen berbincang mengenai penampilan mereka.

“Nasib baik baca nama pemilik akaun. Kalau tak, sampai sekarang aku masih lagi fikir mengapaalah wajah budak England ini nampak macam Farid Kamil,” kata seorang pengguna.

“Weh, aku ingatkan akaun orang dari luar negara tadi. Sekali (orang Malaysia). Mereka ada keturunan Mat Saleh ke?” Soal pengguna lain bertanya mengenai asal usul pelakon yang berdarah Melayu-Inggeris itu.

Baca juga: KKM-SKMM uji penghantaran ubat guna dron ke Sabah, permulaan sistem kesihatan digital luar bandar