Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeterai kerjasama strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memperkasa transformasi kesihatan digital negara, khususnya untuk memperluas akses perkhidmatan kesihatan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sabah dipilih sebagai lokasi pertama untuk projek perintis ini di mana penghantaran ubat akan dilakukan menggunakan dron.
Klinik Kesihatan Tawau akan menjadi pusat utama penghantaran ke dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
Sabah dipilih berdasarkan liputan jaringan 4G (94.4%) dan 5G (69%) yang stabil serta cabaran geografi negeri itu yang menuntut penyelesaian inovatif bagi menjamin kelangsungan rawatan dan bekalan ubat kepada rakyat.
Sebanyak lapan inisiatif utama dikenal pasti untuk pelaksanaan fasa awal kolaborasi ini, merangkumi:
1. Penyediaan prasarana komunikasi untuk kesihatan masa depan;
2. Perlengkapan komputer dan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik kesihatan, termasuk klinik desa dan klinik komuniti;
3. Penyediaan kiosk telekesihatan di NADI;
4. Penghantaran ubat menggunakan dron ke kawasan luar bandar dan pedalaman sebagai penyelesaian kepada cabaran bentuk muka bumi;
5. Pelaksanaan langkah keselamatan siber di fasiliti kesihatan;
6. Penyediaan geran pengadaptasian sistem EMR;
7. Penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar; dan
8. Pemerkasaan penyertaan Malaysia dalam platform kesihatan digital global.
“KKM amat mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mampu memperkukuh sistem kesihatan awam dengan menawarkan penyelesaian inovatif dan mesra rakyat. Ia adalah pendekatan signifikan bagi mendepani cabaran penjagaan kesihatan masa kini, terutamanya di kawasan yang sukar mendapat akses,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Inisiatif ini menyasarkan peluasan perkhidmatan e-Kesihatan menerusi 1,099 pusat NADI seluruh negara yang akan berfungsi sebagai pintu masuk kepada konsultasi maya dan penyampaian rawatan berasaskan teknologi.
Menurut KKM dan MCMC, sistem berasaskan pengkomputeran awan serta platform konsultasi maya akan digunakan bagi menyokong rawatan susulan dan pemantauan pesakit di kawasan sukar diakses.
Kerjasama ini juga selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju kesihatan digital serantau dan hab inovasi kesihatan global.
Baca juga: Jho Low didakwa menetap di Shanghai, guna pasport Australia palsu daftar syarikat di UK