Reformasi Kerajaan Madani: Rakyat diberikan hak untuk berhimpun secara aman

Oleh MALAYSIADATELINE

Perhimpunan #TurunAnwar yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu ini menjadi bukti bahawa tampuk kepimpinan kerajaan Madani memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman.

Penganjuran program berkenaan juga membawa makna bahawa ruang demokrasi tetap terbuka yang mana rakyat perlu memanfaatkan peluang ini secara positif sambil menjaga keharmonian dan kesejahteraan.

Oleh yang demikian, para peserta himpunan dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada bertujuan untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan terutama di lokasi perhimpunan.

Perkara ini sejajar dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung perhimpunan tersebut yang turut dikeluarkan menerusi satu hantaran di platform Facebook pada Jumaat.

Menerusi kenyataan itu, Mohd Khalid berkata bahawa segala bentuk kerjasama daripada semua pihak terutama peserta perhimpunan amat diharapkan supaya suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh berhimpun.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai-nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Dalam semangat tersebut, kita komited memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan perhimpunan ini dapat dilaksanakan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama.

“Harapan kami agar setiap suara yang dizahirkan dapat disampaikan dalam suasana yang saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta adab masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, PDRM memberi jaminan bahawa keselamatan awam akan terus dipelihara dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara selain turut menghormati hak-hak kebebasan rakyat pada masa yang sama.

Mohd Khalid memaklumkan pihaknya amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan menyeru agar semua pihak terus memainkan peranan secara berhemah dan matang.

“Kita percaya bahawa perimbangan antara hak demokrasi dan pemeliharaan undang-undang boleh dicapai melalui kerjasama yang erat dan rasa tanggungjawab bersama.

“Marilah kita bersama-sama memastikan setiap ruang demokrasi yang terbuka ini dimanfaatkan secara positif, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.” Ujarnya.

Dalam pada itu, masyarakat umum yang mungkin tidak terlibat secara langsung dengan perhimpunan disarankan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak maklumat trafik semasa untuk mengelak kesesakan lalu lintas.

Baca juga: Pengumuman Anwar strategi jangka pendek pacu ekonomi – Pakar