Warga Bangladesh di Malaysia raih gaji RM5,200 sebulan sebagai ‘supervisor’

Oleh KIM SYAZIE

Seorang warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia mampu berbangga dengan gaji yang diraihnya sekarang iaitu sekitar RM5,200 sebulan selepas 20 tahun bekerja di negara ini.

Menerusi perkongsian di TikTok MalaysianPAYGAP, warga Bangladesh yang ditemu bual secara rawak itu berkata, dia sudah bertahun-tahun bekerja di sektor pembinaan dan kini dilantik sebagai penyelia (supervisor).

Dia sangat teruja bercerita tentang kehidupannya di Malaysia, terutama gaji yang cukup besar, berbeza dengan gajinya ketika bekerja di bahagian perbankan di negaranya.

“Saya dari Bangladesh. Saya sudah bekerja di Malaysia lebih 20 tahun. Kali pertama (datang ke Malaysia) gaji saya cuma RM900. Selepas 10 tahun, gaji bulanab saya sebanyak RM5,200,” katanya.

Ketika ditanya kenapa dia memilih untuk bekerja di sini, lelaki itu berkata: “semua orang pun tahu gaji di negara saya sangat sedikit. Gaji saya di sana cuma RM450 sebulan”.

Apa yang membuatkan dia bangga, gaji yang diraihnya hari ini setaraf dengan gaji seorang pengurus bank di negaranya dan gaji individu berjawatan tinggi.

Katanya, dia hanya bekerja di sektor pembinaan namun berjaya meraih gaji sebesar itu.

“Dengan gaji saya sekarang, ia sama dengan gaji seorang pengurus bank di Bangladesh dan orang yang berjawatan tinggi. Sedangkan saya cuma seorang pekerja pembinaan dan saya cuma penyelia, tapi gaji saya dah cecah RM5,000. Di sana sangat susah (untuk bekerja),” katanya.

Ujarnya lagi, untuk mendapat peluang pekerjaan di Malaysia bukanlah satu perkara mudah, malah memerlukan kos yang besar.

“Saya bayar lebih RM12,000 dulu untuk datang ke sini. Sekarang semua dah lebih RM16,000,” katanya.

Baca juga: ‘Kena paksa diri pakai tudung, mati tak kenal masa’ – Amyra Rosli