Seorang wanita meluahkan rasa terkejut apabila seorang pengasuh di Kuala Lumpur mengenakan caj sehingga RM1,800 sebulan untuk menjaga seorang bayi.
Menurut wanita itu, dia mahu mencari pengasuh untuk anaknya berusia enam bulan.
Namun dia terkejut saat diberitahu harga yang diminta individu berkenaan, yang menurut komentar pengikut, harga itu terlalu mahal mengalahkan sebuah taska.
“Kalau enam bulan boleh, tapi saya caj lebih sikit dan makanan puan boleh sediakan. Bagi bayi berumur sehingga 12 bulan, RM1,800 sebulan dari pukul 6.30 pagi hingga 7 petang,” kata pengasuh berkenaan seperti dikongsikan oleh wanita itu di laman sosial.
Lebih mengejutkan, katanya, walaupun kadar tersebut agak tinggi, anak-anak dijaga bersama kanak-kanak lain dan bukan secara individu.
“Ibu-ibu nak tanya, memang macam ni ke kadar pengasuh di kawasan Kuala Lumpur? Saya baru nak mula tinjau pengasuh sebab sebelum ni selalu dengar ibu-ibu lain bayar tak sampai RM1,000 pun sebulan untuk bayi.
“Bayi saya ada pembantu juga tetapi kadar pengasuh macam ni, baik sambung pembantu sajalah, lebih kurang harganya,” tulisnya.
Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk yang mempersoalkan kewajaran kadar tersebut.
“Mahal gila. Letak taska yang seminggu lima hari tu pun sebulan baru RM600. (Ni) sampai RM1,800 ditekannya,” ujar seorang warganet.
Ia turut disokong pengguna lain yang menyifatkan harga itu sebagai cekik darah.
Baca juga: Himpunan #TurunAnwar: Anthony Loke arah KTM dan LRT terus beroperasi esok