Tidak dapat dibayangkan betapa hancurnya hati seorang isteri apabila mendapat khabar mengejutkan bahawa dirinya telah dimadukan oleh suami tersayang pada ulang tahun perkahwinannya yang kelapan.
Mana tidaknya, detik sangat bermakna yang seharusnya disambut bersama suami dan anak-anak dengan penuh kegembiraan malah meninggalkan kekecewaan cukup mendalam buat diri wanita itu.
Berdasarkan perkongsian di platform media sosial, wanita itu memaklumkan bahawa segalanya bermula dengan pengakuan mengejutkan daripada sang suami ketika mereka sekeluarga sedang bercuti di Cameron Highlands.
Lelaki itu mengaku sudah menikah lagi secara diam-diam di Thailand pada Mei 2024 tanpa pengetahuan isterinya dengan seorang janda yang sudah memiliki dua cahaya mata dipercayai selepas berkenalan di tempat kerja.
Pengakuan suaminya membuat wanita itu terfikir untuk bercerai memandangkan lelaki terbabit disifatkan belum mampu menanggung dua isteri dan empat anak dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,200.
Wanita itu juga sepertinya nekad untuk membawa haluan masing-masing memandangkan mereka juga memang tidak tinggal sebumbung berikutan suaminya tidak memberi kebenaran dengan alasan ‘serabut’.
“Saya bersama suami dan anak-anak bercuti di Cameron Highlands. Bulan ini juga ulang tahun perkahwinan kami. Tetapi suami mengaku sudah menikah lagi dengan kerani di pejabatnya. Wanita itu janda dan memiliki dua anak.
“Mereka menikah di Thailand pada bulan Mei tahun lepas. Hari ini saya ada mengambil bukti berupa pasport dan sijil pernikahan dia di Thailand. Apa yang perlu saya lakukan? Hal ini kerana saya mahu bercerai.
“Keputusan dibuat kerana suami hanyalah bergaji bersih RM1,200 lebih. Saya berniaga. Suami dan saya tinggal di tempat lain-lain. Antara sebab suami tak benar saya ikut adalah ‘tidak mahu serabut selepas balik kerja’,” katanya.
Perkongsian dibuat oleh isteri terbabit menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Kumpulan Facebook popular iaitu Peguam dan Pengguna Malaysia tanpa mendedahkan identiti mana-mana pihak terlibat.
Hal ini berikutan wanita itu meminta bimbingan tentang langkah seterusnya yang harusnya diambil untuk bercerai selain tindakan terhadap keluarga sendiri, mentua, isteri baharu serta tempat kerja mereka.
“Terima kasih semua. Mohon doakan saya agar terus kuat membesarkan anak-anak. Seorang itu masih Darjah Satu manakala adiknya berusia satu tahun lapan bulan.” Kongsi wanita terbabit dalam perkongsian itu.
Baca juga: Selam lebih 10 kali dalam sungai berlumpur, akhirnya sia-sia – Bomba rasa terhina dipermainkan