Seorang guru berkongsi pengalaman mendidik murid darjah empat yang sudah pandai bersikap ‘loyar buruk’ dan tidak menunjukkan minat untuk belajar.
Dalam perkongsian di Facebook, guru dikenali sebagai Iffat Salleh menceritakan situasi sewaktu mahu memulakan proses pengajaran di kelas tahun empat.
Katanya, ada seorang murid langsung tidak mengikut arahan ketika diminta untuk mengeluarkan buku teks dan hanya bermain dengan pen di atas meja.
Ketika ditanya tentang bukunya, jawabnya ringkas: “Saya tak bawa buku BM cikgu”
Iffat yang pada mulanya menegur dengan tenang, terus bertanya kepada murid itu mengapa dia tidak membawa buku walaupun subjek BM ada setiap hari.
Namun jawapan yang diterimanya sangat mengejutkan.
“Sebab boleh cikgu”. Aku dah hangin. Selepas itu? Aku tanya lagi (pada murid berkenaan). Dibalasnya pendek “lepas tu, three cikgu”.
“Lepas tu? Aku tanya lagi. Dibalas pendek lepas tu, three cikgu. Ya Allah aku dah hangin teruk masa ini. Aku rasa nak rotan, nak marah, nak denda tapi apakan daya..aku hanya berpaling muka,” kongsinya.
Guru itu berkata, dia hanya berpaling muka dan memilih untuk memberi tumpuan kepada murid lain yang lebih bersemangat untuk belajar.
“Kasihan… Sungguh kasihan.. Generasi yang kasihan. Sudah salah, tidak boleh ditegur Sudah terpesong, tidak boleh dimarah. Sudah rosak, tidak boleh dibetulkan,” ujarnya.
Perkongsian itu meraih pelbagai reaksi daripada warganet, kebanyakannya bersimpati dengan nasib para guru dan tidak kurang yang berpendapat kanak-kanak itu masih kecil dan masih boleh dibentuk.
Baca juga: Selam lebih 10 kali dalam sungai berlumpur, akhirnya sia-sia – Bomba rasa terhina dipermainkan