“Dia cuma rehat, bukan malas” – BGM pertahan staf OKU daripada kritikan pelanggan

Oleh MAISARAH AISYA

Dalam dunia yang pantas menilai dan mengkritik, kadangkala kita terlupa bahawa di sebalik seragam pekerja dan senyuman di kaunter, adalah manusia biasa.

Pihak pengurusan Burger Garage Malaysia (BGM) tampil memuat naik aduan pelanggan terhadap salah seorang pekerjanya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Aduan tersebut mempersoal pekerja yang dilihat hanya duduk tanpa buat apa-apa sedangkan pekerja lain sibuk menyipakan pesanan pelanggan.

Menerusi Facebook, BGM tampil menjelaskan pekerja tersebut adalah OKU dan sedang berehat serta bukan dengan sengaja tidak bekerja.

“Hari ni saja, kami terima tiga aduan tentang Aishah, salah seorang staf istimewa kami di BGM. Katanya dia duduk semasa bekerja, main telefon dan tak ikut arahan.

“Tapi izinkan kami jelaskan sedikit, Aishah ialah salah seorang staf OKU kami. Dia tak pernah duduk waktu kerja kecuali masa rehat, sementara tunggu meal dia siap.

“Dia main telefon masa rehat, sambil duduk sekejap dan ya, kadang dia lupa pakai jaket waktu rehat, sebab dia memang perlu diingatkan setiap hari,” kongsinya di Facebook.

Jelasnya pihak mereka cuba memberikan pakaian khas namun bimbang akan ketidakselesaan dan pekerja istimewa ini hanya diberikan button.

“Kami cuba beri dia pakai baju khas tapi dia dan rakan-rakan istimewa kami rasa tak selesa.
Mereka nak rasa sama macam staf lain dan kami hormati it jadi mereka hanya pakai button istimewa.

“Kami bukan nak minta simpati cuma kami mohon sedikit faham dan kasih sebab Aishah dan keluarga dia juga baca Google Review kami.

“Kami risau bukan sebab takut dikritik tapi kami risau kalau satu komen kasar hari ini, buat seorang anak istimewa menangis malam ini,” kongsinya.

BGM turut menyeru agar masyarakat terus menyokong usaha mereka membina peluang pekerjaan untuk semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berkeperluan khas.

Mereka juga membuka ruang maklum balas untuk penambahbaikan perkhidmatan.

“Jika anda rasa kami boleh baiki sesuatu, kami sangat terbuka. Tapi jika anda jumpa Aishah, senyum la sikit.

“Sebab mungkin senyuman anda itulah rezeki paling besar untuk dia hari itu,” tambahnya.

Baca juga: Ustaz Azhar Idrus rupanya gemar kumpul jam, dedah jenama dan harga pakaian dalam ‘Pasang Badan’