Seorang lelaki di Argentina yang dirakam dalam keadaan bogel di halaman rumahnya oleh kamera Google Street View telah dianugerahkan pampasan oleh mahkamah.
Ini adalah selepas bahagian belakang tubuhnya tersebar di internet untuk tontonan umum lapor CBS News.
Lelaki yang bekerja sebagai seorang anggota polis itu menuntut pampasan daripada syarikat teknologi gergasi itu disebabkan maruahnya tercalar.
Dalam hujah bahawa ketika dirakam, dia berada di sebalik tembok setinggi kira-kira dua meter.
Kejadian yang berlaku di sebuah bandar kecil Argentina pada tahun 2017 itu turut memperlihat dengan jelas nombor rumah dan nama jalan.
Gambar tersebut kemudian disiarkan oleh stesen TV Argentina yang melaporkan kisah berkenaan, serta tular secara meluas di media sosial.
Lelaki itu mendakwa pencerobohan privasi tersebut menyebabkan dia menjadi bahan ejekan di tempat kerja dan dalam kalangan jiran tetangganya.
Pada tahun sebelumnya, sebuah mahkamah lain telah menolak tuntutannya, dengan memutuskan bahawa dia bertanggungjawab sendiri kerana berjalan dalam keadaan tidak sopan di halaman rumahnya.
Pihak Google pula berhujah bahawa tembok keliling rumah tidak cukup tinggi untuk menghalang pandangan kamera mereka.
Namun begitu, hakim mahkamah rayuan mendapati bahawa maruah lelaki itu telah dicabuli secara jelas.
Maka Google diarahkan membayar pampasan dalam mata wang peso Argentina yang bersamaan kira-kira AS$12,500 (anggaran RM58,000).
“Dalam kes ini, imej yang dirakam bukan di tempat awam, tetapi di dalam kawasan rumah mangsa, di sebalik pagar yang lebih tinggi daripada ketinggian purata manusia.
“Pencerobohan privasi ini adalah jelas dan nyata,” kata penghakiman tersebut.
Para hakim menegaskan bahawa tidak ada keraguan bahawa dalam kes ini terdapat pencerobohan sewenang-wenangnya ke dalam kehidupan seseorang.
Mereka juga menyatakan bahawa tiada alasan munasabah bagi pihak Google untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab atas kesilapan serius ini.
Apatah lagi ia melibatkan pencerobohan ke dalam rumah plaintif, dalam ruang peribadinya sendiri, sekali gus mencemarkan maruahnya.
“Tiada siapa yang ingin dilihat oleh dunia dalam keadaan seperti hari mereka dilahirkan,” kata mereka lagi.
Para hakim turut merujuk kepada dasar Google untuk mengaburkan wajah dan nombor plat dalam gambar Street View sebagai bukti bahawa syarikat itu sedar akan tanggungjawab untuk mengelakkan mudarat terhadap pihak ketiga.
Namun, dalam kes ini, bukan wajah lelaki itu kelihatan, tetapi seluruh tubuhnya yang tidak memakai apa-apa pakaian, imej ini sepatutnya juga dicegah daripada disiarkan.
Baca juga: Tular video budak perempuan 12 tahun dipukul dengan tukul besi, lelaki usia 39 tahun ditahan