AS puji peranan Anwar dalam gencatan senjata Thailand, Kemboja

Oleh KIM SYAZIE

Amerika Syarikat memuji pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang dimeterai di Putrajaya semalam serta menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tuan rumah rundingan damai tersebut.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dalam satu kenyataan rasmi berkata, Washington menyokong sepenuhnya penamatan segera keganasan dan menjangkakan komitmen penuh daripada kedua-dua negara untuk menamatkan konflik.

“Amerika Syarikat memuji pengumuman gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand.

“Presiden Trump dan saya komited terhadap penamatan segera keganasan dan mengharapkan kerajaan Kemboja dan Thailand mematuhi sepenuhnya komitmen mereka untuk menamatkan konflik ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranannya dalam menganjurkan rundingan yang berjaya mencapai kesepakatan damai antara dua negara jiran itu.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dan kerana menjadi tuan rumah rundingan gencatan senjata,” kata beliau.

Dalam kenyataan yang sama, Rubio menyeru semua pihak terlibat agar mematuhi sepenuhnya komitmen yang telah dipersetujui dan menegaskan komitmen berterusan Amerika Syarikat dalam menyokong proses damai tersebut.

Semalam Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta merta tanpa sebarang syarat yang akan berkuatkuasa jam 12 malam semalam.

Malaysia memainkan peranan penting sebagai orang tengah sepanjang rundingan yang berlangsung di Putrajaya semalam. Ia turut disaksikan wakil dari Amerika Syarikat dan China.

Baca juga; Selepas Amir, Ali Puteh juga dakwa stesen TV ada hutang tapi halalkannya