Hadiah kepada guru bukan tanda terima kasih, tapi budaya bodek – Rafizi

Oleh MALAYSIADATELINE

Rasuah merupakan salah satu ancaman utama terhadap integriti, keadilan dan pembangunan sesebuah negara.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli melihat budaya memberi hadiah daripada murid kepada guru sebagai satu budaya membodek.

Dalam episod Podcast Yang Berhenti Menteri #6, Rafizi ditanya bagaimana cara untuk menolak budaya rasuah.

Tegas Rafizi, institusi sekolah seharusnya menerapkan model kejayaan yang berbeza agara murid membesar dengan kefahaman bahawa kejayaan diukur melalui integriti dan usaha.

“Saya perasan, masa saya kembali ke sekolah berasrama sebagai jurulatih sebelum masuk politik, budaya ini makin ketara. Ini mungkin isu sensitif, tapi zaman saya dulu tak perlulah sampai bawa hadiah kepada cikgu.

“Cukup sekadar hormat guru, dan guru pun hormat kita. Tapi lama-kelamaan, disebabkan materialisme dalam masyarakat dan juga sistem, muncul budaya di mana murid mesti menunjukkan penghargaan secara berlebihan kepada guru dan orang tua.

“Dari situlah mula ada budaya ‘kena bawa hadiah’, dan sebagainya. Saya sendiri nampak benda ni depan mata. Dan saya rasa ini tidak baik untuk jangka panjang, ia menanam benih budaya membodek.

“Akhirnya, pelajar yang ‘lebih pandai membodek’, lebih disukai cikgu, dan itu mencipta suasana tidak adil.” katanya menerusi hantaran program audio siar Yang Berhenti Menteri.

Ahli Parlimen Pandan itu menyatakan bahawa model kejayaan seperti menggalakkan murid menjadi pengawas untuk kelihatan bergaya memberi pengaruh negatif kepada mereka.

“Contohnya benda-benda yang ringkas, seperti jadi pengawas. Masa Form 1, Form 2 dulu, model kejayaan yang ditanam adalah jadi pelajar ‘gempak’ di sekolah mesti jadi pengawas. Tapi dari awal saya dah fikir, sebenarnya jadi pengawas ni boleh membawa kepada banyak dosa.

“Pada umur 16 tahun, terutamanya di sekolah berasrama, kau dah cukup berkuasa ke atas budak-budak lain, kawan sendiri dan walaupun jelas saya boleh jadi pengawas, saya memang tak nak walaupun cikgu pujuk serta tawarkan.

“Sebab pada saya, itu bukan model kejayaan yang saya nak. Saya lebih rela jadi seseorang yang cemerlang dalam cara tersendiri dan beri impak secara berbeza. Sebab bagi saya, model tu sendiri ada unsur korupsi.

“Saya tengok ramai yang taklah hebat mana pun, tapi mereka pijak orang lain, buat hidup orang susah, hanya sebab ada jawatan. Itu bukan apa yang saya nak.

“Ya, memang ini pemikiran budak sekolah, tapi sebenarnya sekolah patut pupuk model kejayaan yang berbeza. Saya tak pasti sekolah kita sekarang buat begitu.” katanya.

Tegasnya lagi, segala masalah perlu diselesaikan dari akar umbi bukannya cuba menyelesaikan masalah besar sahaja.

“Segalanya bermula dari sekolah sebenarnya. Jadi, perbincangan tentang rasuah, reformasi institusi, ataupun ekonomi.

“Semua itu hanya penyelesaian jangka pendek jika kita tidak betulkan sistem pendidikan terlebih dahulu,” kongsinya.

Baca juga: Fadhli Shaari dikecam buat hantaran ‘binatang’ isu konflik Thailand-Kemboja