Ruhainies bersumpah demi Allah tidak dibela ‘sugar daddy’, berjaya jejak pemfitnah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Ruhainies bersumpah demi nama Allah bahawa dirinya tidak pernah ditaja atau dibayar gaji oleh mana-mana lelaki yang berstatus ‘Sugar Daddy’ seumur hidupnya.

Pengakuan tersebut dilakukan Ruhainies selepas dituduh menerima elaun bulanan daripada Sugar Daddy hingga membuatkan pelakon itu belum mahu berkahwin meskipun usianya sudah 33 tahun.

Dakwaan sedemikian mulanya dilemparkan oleh seorang pengguna media sosial sebelum Ruhainies memuat naik gambar individu terbabit di Instagram Story dalam usaha untuk mengesan penyebar fitnah.

Ruhainies kemudian menerima mesej permohonan maaf melalui pesanan secara terus (DM) dari wanita terbabit di platform Instagram selain turut mendakwa akaun media sosial miliknya telah digodam.

Pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf tersebut dengan mudah sebaliknya mahu menggunakan saluran undang-undang.

“Innalillah, tetapi saya nak buat laporan. Saya nak jumpa awak. Awak cakap saya dapat elaun dari Sugar Daddy. Elaun itu untuk apa, gaji ya? Ada Sugar Daddy pun dapat gaji. Dahsyat. Mana awak belajar semua ini?

“Saya sendiri pun tidak tahu. Awak ada pengalaman ke? SAYA BERSUMPAH DEMI ALLAH tidak pernah dibela oleh Sugar Daddy ataupun seangkatan dengannya SEUMUR HIDUP. Dari mana awak dapat fitnah itu?

“Awak menfitnah saya hari ini secara terbuka. Saya tak nak maafkan. Saya nak selesaikan di balai. Kita berjumpa. Saya nak jumpa,” kata Ruhainies ketika membalas pesanan dari wanita terbabit berhubung dakwaan tersebut.

Dalam perkongsian seterusnya, aktres yang mula dikenali ramai menerusi lakonannya dalam drama bersiri Hello, Mr. Perfect! itu turut menasihati wanita terbabit untuk membuang rasa iri hati atau dengki atas kemewahan orang lain.

Ruhainies turut mengambil kesempatan untuk menyeru para wanita supaya tidak bergantung hidup kepada lelaki sebaliknya mencari duit sendiri bagi menghilangkan rasa cemburu seperti itu.

“Cuma nak pesan, hidup ini hati kena bersih. Jika tengok orang gembira, hati jangan busuk. Ini menggigil tangan, fikir nak fitnah apa supaya dapat matikan orang. Tanpa sedar, diri sudah lama mati sebab sakit hati tengok orang gembira.

“Jadi orang, jangan malas. Jangan harapkan duit lelaki ya, kakak-kakak. Cari duit sendiri. Tingkatkan prestasi diri agar tidak dengki tengok orang lain senang. Perangai kalau tak elok, bukan kata Sugar Daddy. Orang gila pun tak nak.” Tulis Ruhainies lagi menerusi Instagram Story.

Terdahulu, Ruhainies meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang individu yang meninggalkan komen mengenai dakwaan dirinya dibela Sugar Daddy sebelum menerima DM daripada wanita terbabit.

Baca juga: Isteri kedua terduduk dapat tahu semua harta suami milik madu, satu persatu madu ambil balik