Isteri Alieff Irfan tegur ‘bini orang’ tulis komen miang di akaun suami, terpaksa padam kerana rasa malu

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pempengaruh, Alieff Irfan iaitu Belle Strelle meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir wanita yang bertindak meninggalkan komen ‘miang’ tanpa segan silu di akaun media sosial milik suaminya.

Malah lebih mengecewakan, ramai di antara mereka yang meninggalkan komen seperti itu adalah wanita berstatus isteri orang dan sudah mempunyai ramai anak sehingga membuatkan Belle sendiri terasa malu.

Belle atau nama sebenarnya Nurul Nabilah Aliah Hazman yang juga merupakan seorang pempengaruh itu akhirnya mengambil tindakan memadam komen ‘gatal’ di akaun suaminya ekoran disifatkan terlalu berlebihan.

Perkara itu didedahkan oleh Belle dalam satu sesi siaran langsung yang sempat dirakam oleh penonton sebelum video berdurasi dua minit 56 saat tersebut dimuat naik semula di platform TikTok.

“Sebelum berkahwin, saya perasan ramai lelaki mengikuti akaun media sosial saya. Perempuan sedikit sahaja tetapi sekarang 80 peratus pengikut saya adalah wanita. Malah saya juga tidak berharap pengikut lelaki bertambah.

“Namun pengikut lelaki jarang menulis komen miang di akaun saya. Kalau mereka tulis komen macam, ‘cantiknya isteri orang’ memang saya akan padam. Memanglah kita tak boleh tutup mulut orang.

“Tetapi baru-baru ini, Alieff muat naik video dekat pejabat. Namun yang ramai meninggalkan komen adalah wanita dan isteri orang. Tulis macam, ‘Kacaknya suami orang, kalaulah aku dapat’. Macam tiada maruah,” kesalnya.

Dalam perkongsian yang sama, Belle turut menasihati pengguna media sosial terutamanya wanita berstatus isteri orang untuk memikirkan maruah dan perasaan suami sebelum meninggalkan sebarang komen.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok mengakui turut merasa tidak senang dengan sikap wanita masa kini yang semakin berani menuliskan komen miang di akaun milik lelaki lebih-lebih lagi suami orang.

Ramai juga pengguna TikTok terutama dalam kalangan wanita turut tampil memberi peringatan khusus kepada kaum Hawa supaya tidak lupa menjaga maruah sendiri ketika menggunakan media sosial.

Baca juga: Labur hampir RM100k bina studio, Zoey Rahman pilih cara kreatif promosi tanpa gimik murahan