Pelajar peralihan Tingkatan 1 mengaku bersalah tumbuk guru, dibenar ikat jamin RM1,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pelajar peralihan Tingkatan 1 yang sebelum ini tular kerana menumbuk gurunya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dalam kejadian pada Isnin lalu.

Remaja lelaki berusia 14 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil. 

Mengikut pertuduhan, pelajar terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru lelaki berusia 29 tahun di sebuah sekolah menengah di Kajang sekitar jam 4.48 petang kelmarin.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama setahun atau dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000 atau kedua-duanya.

Difahamkan, prosiding pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin manakala tertuduh pula diwakiliki peguam, S Priyalatha, lapor Berita Harian.

Pihak pendakwaan pada mulanya menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin atas alasan kes berkenaan disifatkan serius malah rakaman kejadian tersebut juga tular di media sosial. 

Walau bagaimanapun, peguam yang mewakili remaja terbabit memohon jumlah jaminan lebih rendah kerana tertuduh adalah pesalah juvana yang masih berada di bangku persekolahan atau bawah umur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 11 September untuk laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam mahkamah untuk membuat sebarang liputan berhubung kes berkenaan memandangkan tertuduh adalah pesalah di bawah umur.

Ibu dan bapa kepada remaja terbabit juga dilihat hadir ke mahkamah untuk menghadiri prosiding pertuduhan di mana wanita berkenaan memaklumkan tertuduh adalah anak tunggal dan tinggal bersamanya selepas berpisah dengan bekas suami.

Wanita berusia 40-an terbabit juga ketika ditemui pihak media memberitahu bahawa anaknya menyesal dengan tindakannya yang menumbuk guru dan ada memohon maaf kepadanya.

Terdahulu, tular satu rakaman berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan pertengkaran antara dua individu bertubuh kecil dan lebih besar yang mana salah seorang daripadanya bertindak menumbuk pipi lawannya.

Baca juga: Ticer Kay hadiahkan peti ais buat keluarga pelajar susah, kisahnya buat ramai tersentuh