Di zaman yang serba mencabar ini, ramai yang terpaksa hidup dalam kesusahan hingga untuk makan setiap hari pun perlu bergantung pada bantuan orang ramai.
Lebih menyayat hati, situasi ini turut melibatkan anak-anak sekolah yang terpaksa menahan lapar dan hanya mampu mengisi perut dengan ihsan serta bantuan pihak lain.
Itulah yang mendorong seorang pengusaha kantin yang dikenali sebagai Ticer Kay tampil menghulurkan bantuan kepada pelajar-pelajar susah di kawasan sekolahnya.
Sebelum ini, dia pernah menghadiahkan barangan keperluan asas selepas didatangi seorang murid yang mengadu tiada makanan di rumah.
Terbaharu, Ticer Kay memuat naik sebuah video di TikTok yang memperlihatkan dirinya berkongsi rezeki hasil sumbangan orang ramai untuk membeli sebuah peti ais buat keluarga seorang pelajar bernama Ridzuan.
Kongsinya, di kawasan tersebut ada ramai orang susah dan dia hanya membantu sehabis baik untuk mereka yang memerlukan.
“Dulu dia malas nak datang sekolah, tapi bila bagi makan dan minum percuma dekat kantin saya, dia semakin rajin datang sekolah.
“Kawasan ni ramai yang susah, saya bantu anak ni sebab dia salah sorang yang saya bagi makan setiap kali rehat dan bagi bekal bawa balik utk mak dan adik dia makan,” tulisnya di ruangan komen.
Rata-rata netizen memuji keprihatinan pengusaha kantin tersebut yang tidak berkira untuk berkongsi rezeki dengan pelajat tersebut.
“Benda pertama, mesti dia seronok nanti. Dahaga pun dah boleh minum air sejuk. Semoga terus berjaya, adik. Semoga murah rezeki selalu, Ticer Kay.
“Allah, sebaknya saya. Cikgu yang sangat-sangat baik dan berhati mulia. Semoga sentiasa dirahmati Allah dan sentiasa dimurahkan rezeki, cikgu. Aamin.
“Teruskan, cikgu baik… Saya staf sekolah. Saya suka bertanya dan memerhati anak-anak yang susah, saya akan belanja mereka makan. Itu sahaja yang saya mampu,” antara komen netizen.
Baca juga: ‘Sejak kerap ‘travel overseas’ dah tak sanggup nak kutuk negara sendiri’ – luahan rakyat Malaysia