Ammar Ahyan diraba ketika bantu promosi produk bapa, sifatkan pelaku tak bertamadun

Oleh MALAYSIADATELINE

Anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Ammar Ahyan mendakwa dirinya menjadi mangsa raba ketika berada di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Ammar mengakui kejadian berlaku ketika menyertai sesi promosi produk di lokasi tersebut untuk membantu ibu bapanya menjayakan kempen Malaysian Book Of Record bagi jualan beg terpantas dalam satu siaran langsung.

Menurut Ammar, dirinya tidak keberatan untuk beramah mesra dengan pengikut yang hadir termasuk memenuhi permintaan bergambar namun kecewa apabila ada pihak bertindak mengambil kesempatan.

Remaja berusia 17 tahun itu turut menyifatkan perbuatan pelaku sebagai sikap orang tidak bertamadun selain turut mendedahkan bahagian anggota badannya yang diraba dalam insiden tersebut, lapor Mstar.

“Saya tak suka orang yang bersikap tidak bertamadun sebab saya baru sahaja kena raba. Untuk pengetahuan, saya kena raba di pinggang dan ketiak. Saya memang tak suka perkara itu.

“Saya tiada masalah kalau orang ajak bergambar atau nak bersembang. Tetapi apabila sudah melampaui batas, saya terus hilang minat,” dedah remaja berkenaan berhubung kejadian itu memetik laporan Mstar.

Mengulas lanjut, Ammar memberitahu kejadian tersebut sudah dimaklumkan kepada ibunya iaitu Datin Seri Nur Shahida yang menasihatinya untuk kekal tenang dan tidak terlalu memikirkan insiden itu.

Oleh yang demikian, Ammar membuat keputusan untuk memaafkan sahaja individu terbabit kerana menganggap bahawa kejadian tersebut mungkin berlaku secara tidak sengaja.

“Saya sudah beritahu mak saya dan dia kata dalam hidup ini, memang ada orang macam itu. Tetapi mungkin juga orang itu salah faham atau tidak sengaja. Jadi saya maafkan sahaja.” Ujar remaja itu.

Baca juga: Kecoh bomoh di kemboja hantar sihir kepada komander tentera Thailand