Usahawan terkenal, Datuk Seri Vida menjemput warga Terengganu khususnya penduduk Besut dan Jerteh untuk berkumpul di kediamannya yang terletak daerah berkenaan pada Jumaat.
Hal ini berikutan pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu berniat mahu bersedekah dengan memberi barangan keperluan rumah yang berada dalam kediaman tersebut secara percuma kepada para hadirin.
Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, usahawan yang juga mesra dikenali sebagai DSV itu memaklumkan bahawa orang ramai boleh mula berkumpul seawal jam 3 petang untuk mengambil barangan.
Para hadirin yang hadir di kediaman dinamakan sebagai Baitul Nurly Jannah terletak di Kampung Batu Tumbuh, Besut itu juga berpeluang untuk bersua muka dengan usahawan berkenaan.
“Insya-Allah, Datuk Seri Vida (DSV) akan turut bersama di dalam majlis ini dan akan menyerahkan barang-barang di dalam rumah kepada yang datang . Sesiapa yang ingin berjumpa dengan DSV juga amat dialu-alukan.
“Semoga majlis ini membawa keberkatan dan kebaikan buat semua yang hadir,” tulis kapsyen video berdurasi 39 saat yang dimuat naik di akaun TikTok milik pengguna dikenali sebagai Eeiqwan itu.
Dalam rakaman tersebut, ahli perniagaan berkenaan juga memberitahu bahawa antara barangan keperluan rumah yang berada dalam kediaman tersebut adalah tilam, katil, meja, kerusi, sofa, pasu bunga dan sebagainya.
Banglo mewah itu difahamkan akan diwakafkan oleh Datuk Seri Vida untuk dijadikan sebagai pusat tahfiz Al-Quran khusus buat kaum Hawa membabitkan aktiviti menghafaz dan penulisan kitab suci tersebut.
“Siapa yang mahu, boleh datang. Berkumpul di sini. Saya nak berikan apa yang ada dalam rumah ini. Ambillah apa yang sesuai.” Ujar ahli perniagaan yang berusia 54 tahun berkenaan dalam rakaman itu.
Sekadar info, pusat tahfiz itu dinamakan bersempena memperingati arwah Nurly Shahirah Azman iaitu mangsa nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dikatakan ditemui meninggal dunia dalam keadaan memegang kitab suci Al-Quran.
Baca juga: Netizen kata ‘something wrong’ kalau umur 30 tahun tapi simpanan RM10,000 pun tak ada