Pengarah dan penerbit, Erma Fatima kembali membuat pendedahan mengejutkan baru-baru ini tentang seorang agamawan yang berperwatakan seperti Walid di dalam drama bersiri Bidaah.
Namun perkara yang membimbangkan adalah individu terbabit turut memperdayakan wanita-wanita berstatus isteri orang dan didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral terhadap mangsa.
Perbuatan melampau lelaki bergelar Ustaz itu terbongkar selepas Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali menerima panggilan daripada seorang pengadu yang memaklumkan mengenai perbuatan pelaku.
Menerusi pendedahan yang dibuat di platform Instagram itu, Erma memberitahu bahawa pengadu mendakwa pelaku melakukan perbuatan tidak bermoral berkenaan di rumah, tempat pengajian, dalam kereta dan hotel.
“Saya mendapat panggilan dari seseorang yang mengadu mengenai perbuatan seorang Ustaz ini. Saya tahu siapa tetapi tak mahu mengaibkan dia di sini. Dialog Ustaz itu sama macam Walid di dalam drama Bidaah.
“Tetapi modus operandi dia licik. Mangsanya adalah isteri-isteri orang. Kenapa? Sebab kalau isteri orang, mesti tak berani nak buat laporan kan? Hebat! Perbuatan dilakukan di rumah, tempat pengajian, dalam kereta dan hotel.
“Sekarang ini, ada antara isteri-isteri orang yang menjadi mangsa itu nak buat laporan. Tetapi masih teragak-agak sebab takut suami tahu. Lapor sahaja dari kau merelakan Ustaz ini berterusan menunggang agama sana sini,” kesalnya.
Menurut Erma, pelaku juga pernah menghantar pesanan secara terus (DM) di akaun media sosialnya sebelum ini untuk memarahinya tentang penghasilan drama Bidaah yang seharusnya dijadikan sebagai kesedaran ajaran sesat.
Dalam perkongsian yang sama, Erma juga menyeru agar mangsa-mangsa segera membuat laporan polis untuk membendung kegiatan pelaku daripada terus berleluasa dan menjadikan wanita lain sebagai sasaran.
“Aku buat Bidaah ini untuk menyedarkan orang tentang ajaran sesat. Bukan suruh kau jadi macam WALID. Sampai babak ‘pejamkan mata’ juga kau ikut. Adui, Pak Ustaz, sudah-sudahlah.
“Kepada isteri-isteri orang yang terjebak itu. Cukup kamu orang sahaja yang kurang bijak dengan merelakan diri itu diperbodohkan. Pergi buat laporan supaya tak ramai lagi perempuan yang MEMBODOHKAN DIRI mereka.
“Aku memang tak faham kenapa kamu semua merelakan ya? Wallahualam. Semoga cerita ini bukan satu fitnah. Aku tunggu laporan polis itu dahulu untuk kepastian. Itu kalau mereka berani laporkan.” Ujarnya.
Baca juga: Bimbang dengan ‘godaan’ duit, Nabil mahu bina madrasah ikut kemampuannya sendiri