Bimbang dengan ‘godaan’ duit, Nabil mahu bina madrasah ikut kemampuannya sendiri

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang nak jaga amanah orang terutamanya melibatkan wang, jatuh ke tangan salah boleh hilang duit dan dilaburkan ke tempat tidak berfaedah.

Disebabkan itu pengacara Nabil Ahmad sebolehnya mahu menyiapkan madrasah di tanah rumah pusaka menggunakan duit sendiri terlebih dahulu.

Jelasnya dia juga menerima banyak mesej (DM) di media sosial yang mahu menghulur dana pembinaan lapor Harian Metro.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudah DM saya di Instagram (IG) untuk bersama-sama terbabit dengan perancangan membina madrasah itu. Saya sangat menghargainya.

“Begitu juga, ramai rakan artis menyatakan minat dan keinginan mereka menghulur dana untuk bantu saya menyiapkan pembinaan berkenaan. Memang saya tak sangka, ramai ingin ikut serta.

“Apapun, saya berterima kasih kepada pihak media yang sudah menguar-uarkan berita ini sehingga menjadi perhatian ramai.

“Tapi, saya mahu pastikan perancangan ini menjadi dahulu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam masa sama pelawak berusia 42 tahun itu mahu berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menerima dana daripada pihak lain.

“Saya bimbang dengan ‘godaan’ duit apabila sudah terlalu banyak. Ia bukan ujian ringan tetapi berat kerana sebagai manusia biasa, kita tidak sempurna dan dibimbangi wujud perasaan lain di hati.

“Daripada niat saya murni untuk bina madrasah itu, disebabkan duit yang dah ‘berkepuk’ banyak dalam akaun tiba-tiba, ia sangat bahaya, jangan main-main. Jadi, saya tak boleh terimanya.

“Jadi, biarlah saya cuba buat dahulu kerana ingin memenuhi impian emak saya (Rohaizah Abdul Latiff) untuk amal jariahnya serta bekalan di akhirat yang diinginkan,” jelasnya.

Baca juga: Peminat terharu Bella Astillah dijemput hadiri acara keluarga Syed Saddiq, tumpang gembira