Norreen Iman makin ‘low profile’, pilih tak kongsi gambar suami, keluarga di media sosial

Oleh MAISARAH AISYA

Ada sesetengah pasangan yang memilih untuk tidak memuat naik gambar bersama di media sosial atas alasan peribadi.

Keputusan ini bukan kerana ada yang disembunyikan, tetapi lebih kepada menjaga privasi, mengelakkan gangguan luar serta menghormati batas dalam hubungan.

Begitu juga buat personaliti media sosial Norreen Iman yang memilih untuk tidak mengulas mengenai persoalan mengapu sudah tiada gambar bersama suami dikongsi.

Tegas Noreen keputusan itu dibuat untuk menjaga ketenangan diri, suami Razzi Razak dan keluarga lapor Kosmo! Online.

“Saya rasa kali ini, saya nak hidup lebih tertutup. Sebab bila kita tunjuk bahagia pun tetap ada orang tak suka.

“Jadi, lebih baik saya hidup dengan cara saya sendiri,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam masa sama Norreen memaklumkan bahawa tidak wujud masalah dalam perkahwinan hanya kerana dia memilih untuk tidak berkongsi gambar bersama suami atau keluarga lain.

“Kita masih ada keluarga. Ada orang kongsi gambar anak tapi tutup muka, jadi macam itu jugalah saya.

“Tahun ini, saya mungkin tak tunjuk kebahagiaan rumah tangga. Biar saya sendiri rasa bahagia itu.

“Tak kongsi apa-apa dalam media sosial bukan tanda rumah tangga runtuh. Doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Baca juga: ‘Walid’ dunia nyata jadikan isteri orang sebagai mangsa, siap ikut dialog drama Bidaah!